
Beliau berkata rakaman itu diambil di luar konteks dan mendakwa Tei mendekati satu demi satu Adun Sabah untuk mendapatkan surat sokongan bagi permohonan lesen perlombongan di bawah beberapa syarikat.
Kata Joachim, Tei mula mendekati Adun Sabah pada 2022, manakala video yang merakam pertemuan mereka dibuat pada 2024 — ketika permulaan apa yang disebut sebagai ‘Langkah Kinabalu’.
“Dia tanya saya, dan saya cakap, kalau kamu nak derma kepada parti, saya guna untuk pilihan raya. Saya tak pernah minta daripada kamu,” katanya yang dipetik Malaysiakini sebagai berkata.
Joachim juga berkata sebarang sumbangan daripada Tei hanyalah sumbangan politik secara sukarela kepada PBS, bukannya rasuah.
Katanya, membuat laporan polis berasingan hanya akan menjadi tindakan berulang dan memberi kesan buruk dari segi politik.
“Sebenarnya, mereka (polis) pun tak minta saya buat laporan. Perkara pertama yang saya kata ialah: baiklah, saya bagi semua,” katanya.
Joachim juga yakin siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran.
Beliau berkata pegawai juga mendapati Tei mempunyai kaitan dengan 19 syarikat yang dipercayai bertindak sebagai syarikat proksi.
Menurutnya, rancangan Tei — yang bergantung pada surat sokongan daripada Adun — ditolak oleh pihak berkuasa kerana ia bersifat pengumpulan lesen dan pembentukan kartel, sekali gus mewujudkan konsortium tersembunyi untuk memonopoli sumber mineral Sabah.
“Setiap Adun tidak tahu bahawa dia (Tei) juga pergi jumpa Adun lain. Mereka tidak tahu antara satu sama lain. Hanya pegawai yang uruskan permohonan itu nampak keseluruhan gambaran, sebab semuanya melalui satu pejabat.
“Bila diketahui bahawa satu individu mengawal semuanya, keputusannya jelas – perkara ini tak boleh dibenarkan,” kata Joachim.
Pada Julai lalu, Joachim menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah selepas Malaysiakini memetik sumber yang mendakwa beliau menerima rasuah sebanyak RM600,000.