NGO rayu kerajaan naikkan insentif peneroka Felda kepada RM2,000

NGO rayu kerajaan naikkan insentif peneroka Felda kepada RM2,000

Insentif peneroka sebanyak RM2,000 sesuai dengan kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung oleh rakyat, termasuk warga Felda.

Pengerusi Generasi Roslan Md Isa berkata, kerajaan perlu mengadakan RCI bagi menyiasat kemelut Felda yang tidak selesai.
PETALING JAYA:
Walaupun menyokong usaha kerajaan meneruskan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka Felda pada kadar semasa RM1,500, tetapi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu Felda mahu ia dinaikkan kepada RM2,000.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Isa berkata, jumlah yang diumumkan itu sama seperti diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tanpa pembaharuan dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kerajaan sepatutnya menaikkan kadar elaun pinjaman itu kepada tangga RM2,000 sesuai dengan peningkatan kos sara hidup tinggi yang terpaksa dihadapi rakyat.

“Kami menyambut baik usaha kerajaan meneruskan pemberian insentif RM1,500, sama seperti kerajaan BN dahulu, bagaimanapun nampak lebih baik jika ia dinaikkan kepada RM2,000, barulah nampak kerajaan sekarang lebih prihatin.

“Elaun sara hidup peneroka adalah hutang, baik RM1,000, RM1,500 atau RM2,000 ia adalah hutang. Hutang kena bayar balik. Cuma saya lihat dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barangan mahal, maka wajar kerajaan naikkan elaun sara hidup peneroka itu, ”katanya kepada FMT hari ini.

Roslan mengulas langkah kerajaan meneruskan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada peneroka Felda pada kadar semasa RM1,500.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan insentif itu kepada RM1,000 yang dikemukakan Lembaga Pengarah Felda.

Pada 28 Mac lalu, Lembaga Pengarah Felda mencadangkan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dikurangkan daripada RM1,500 kepada RM1,000 sebulan ekoran keadaan kewangan semasanya yang kritikal.

Dalam perkembangan lain, Generasi menuntut kerajaan menunaikan manifesto pilihan raya PH untuk membantu warga Felda.

“Kerajaan jangan banyak beretorik, lunaskan manifesto. Peneroka memilih PH kerana teruja dengan tawaran yang dijanjikan, termasuk menghapuskan hutang peneroka yang tidak munasabah.

“Segerakan bayaran hasil seperti yang berjadual sebelum ini 2 kali sebulan. Selesaikan penyata hutang peneroka,”katanya.

Roslan berkata, Generasi juga mendesak supaya Felda diurus oleh individu yang lebih berkelayakan.

Dalam pada itu katanya, Generasi juga menuntut penubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk membantu menyiasat kemelut yang dihadapi Felda yang sehingga kini tidak selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.