Kereta api Kudat-KK tidak perlu pada masa ini, kata PBS

Kereta api Kudat-KK tidak perlu pada masa ini, kata PBS

Sesetengah kampung tidak mempunyai jalan dan penduduk tidak mempunyai pilihan selain berjalan kaki, kadang-kadang selama beberapa jam.

Banyak jalan di pedalaman Sabah tidak boleh dilalui, terutama pada musim hujan menyebabkan hasil dari kampung tidak boleh dibawa keluar untuk dijual.
KOTA KINABALU:
Parti Bersatu Sabah (PBS) mempersoalkan kewajaran di sebalik rancangan kerajaan negeri mahu membina projek kereta api menghubungkan Kudat dan Kota Kinabalu kerana ia tidak diperlukan pada masa ini.

Anggota majlis tertinggi PBS Arthur Sen berkata, projek tersebut tidak harus diberikan keutamaan walaupun ia mungkin memberi manfaat kepada rakyat.

“Jalan seperti yang terdapat di kawasan pedalaman lebih perlu dinaik taraf segera,” katanya.

Kata beliau, beberapa jalan di Ranau amat perlu dibaiki.

“Itu hanya di Ranau. Daerah lain mempunyai masalah mereka sendiri. Banyak jalan tidak boleh dilalui, terutama pada musim hujan. Akibatnya hasil dari kampung tidak boleh dibawa keluar untuk dijual,” katanya.

Sen berkata, sesetengah kampung tidak mempunyai jalan dan penduduk tidak mempunyai pilihan selain berjalan kaki, kadang-kadang selama beberapa jam.

Beliau menyebut satu kejadian yang menyaksikan satu jenayah terpaksa dipikul penduduk kampung untuk dikebumikan.

“Dana RM5.2 juta (yang diperuntukkan untuk projek kereta api) itu harus digunakan untuk membaiki dan membina jalan.

“Jangan hanya berfikir tentang manfaat ekonomi kerana jalan raya adalah untuk manfaat orang ramai.

“Kudat sudah mempunyai satu sistem jalan berturap yang baik yang menghubungkannya dengan Kota Kinabalu. Pada masa akan datang, jalan ini akan dimasukkan ke dalam Lebuhraya Pan Borneo,” kata beliau.

Sen berkata, jumlah penumpang kereta api dijangka tidak tinggi pada masa ini.

“Dari segi kargo, jaringan jalan raya sedia ada lebih daripada mencukupi bagi memenuhi keperluan itu. Apabila Lebuhraya Pan Borneo siap kelak, ia boleh menampung lebih banyak kargo.

“Saya menggesa kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf dan membina jalan luar bandar. Apabila ia selesai, maka kerajaan boleh menimbangkan pembinaan laluan kereta api,” kata beliau.

Sen juga mempersoalkan keperluan membelanjakan sejumlah besar wang untuk membesarkan dan menaik taraf pelabuhan Kudat, sedangkan Sabah sudah mempunyai sebuah pelabuhan besar dengan jaringan perhubungan yang baik di Kota Kinabalu.

Selasa lepas, Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Peter Anthony berkata, kerajaan negeri sedang menyediakan terma bagi pembinaan laluan kereta api sepanjang 175km dari Kota Kinabalu ke Kudat, selain membuat kajian awal mengenai laluan tersebut serta menyiapkan dokumen tender.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan perkhidmatan yang dicadangkan “sangat mengimpikan” satu laluan kereta api kerana mereka tidak mempunyai jaringan jalan raya yang baik.

Anthony berkata, projek itu selari dengan rancangan kerajaan negeri untuk membina satu pelabuhan baru di Limau-Limauan di Kudat dan kereta api berkenaan boleh digunakan untuk mengangkut bukan sahaja penumpang, tetapi juga kargo dari pelabuhan tersebut ke Kudat dan Kota Kinabalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.