
Perhimpunan anjuran kumpulan Klima Action Malaysia (Kamy) itu disertai kira-kira 50 orang yang memegang plakad membawa mesej alam sekitar, berhimpun di luar Pusat Beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Antara mesej itu adalah “Hentikan eksploitasi sumber asli”, “Dasar hijau”, “Jadi sebahagian penyelesaian” dan “Hutan sedang hilang”.
Ada pula yang melaungkan “Malaysia bukan tong sampah” dan “Alam sekitar milik kita”.
Perhimpunan itu turut menggesa rakyat Malaysia membantah penebangan hutan dan menolak sikap tamak.
Jurucakap Kamy, Nurul Fitrah Marican menyenaraikan 8 tuntutan NGO itu kepada kerajaan, termasuk ketua negara dan ahli Parlimen untuk menganggap perubahan iklim sebagai satu krisis dan peralihan adil ke arah ekonomi rendah karbon serta berdaya tahan.

Kumpulan itu turut menggesa peraturan dan penguatkuasaan alam sekitar yang lebih ketat, tempoh pegangan tanah orang Asli yang adil dan celik iklim di Malaysia.
Seorang daripada speaker dalam perhimpunan itu, Amalen Sathananthar dari Kuantan memberitahu perubahan iklim di kawasannya.
Beliau yang tinggal 1.7km dari pantai dengan kenaikan paras laut, bimbang akan kehilangan rumahnya suatu hari nanti.
“Saya tidak mahu kehilangan rumah saya. Saya tidak mahu kehilangan tempat saya membesar, di mana saya menghabiskan zaman kanak-kanak saya setiap hari, bermain di pokok dan pantai.
“Anak saya tidak dapat melihatnya. Anak saya tidak akan faham apa perasaan duduk di bawah pokok dan melihat ombak. Apabila saya ada anak nanti, mereka tidak lagi dapat merasai perasaan berada di pantai.
“Hanya akan ada air di merata-rata. Paras laut akan naik.”

Shaq Koyok yang merupakan artis kontemporari Orang Asli dari suku Temuan di Banting, Selangor, menggesa kemusnahan alam yang sedang berlaku dihentikan.
Katanya, Orang Asli sudah terlalu lama mendiamkan diri mengenai alam sekitar.
“Kita perlu menghentikan apa saja kemusnahan yang kita nampak — pada tanah air, tanah Orang Asli dan alam sekitar.
“Kita sudah ada pembangunan secukupnya dan terlalu banyak bangunan dibina atas tanah Orang Asli.
“Tanah kita diceroboh syarikat pembangunan dan ia bukan dalam skala kecil,” katanya yang menggesa sokongan dan perpaduan untuk masa depan lebih baik bagi generasi baru.
Kamy menganjurkan perhimpunan itu untuk menggesa pendekatan lebih demokratik terhadap tindakan iklim dan menuntut keadilan bagi iklim di Malaysia.
Ahlinya, Reza Abed berkata, generasi muda sekarang dan masa depan yang akan mengalami kesan perubahan iklim.
“Jadi, kita memerlukan tindakan bersepadu sebelum kesan perubahan iklim bertambah buruk melepasi kemampuan kita untuk menerimanya.
“Kami menggesa kerajaan mengenal pasti ancaman perubahan iklim dan meningkatkan langkah bagi mengelakkan bencana berlaku.”
Katanya, konflik, kebuluran dan penghijrahan besar-besaran akan berlaku, jika tiada tindakan diambil.