
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, 2 pasukan JPJ Perak yang terdiri daripada 6 penguat kuasa itu dipinjamkan susulan penahanan dan siasatan kes rasuah membabitkan penguat kuasa JPJ negeri ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Operasi di negeri ini berjalan seperti biasa dan penguat kuasa dari JPJ Perak itu dipinjamkan sejak Jumaat lepas,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, SPRM menahan 22 lagi penguat kuasa dan pegawai JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya membawa muatan lebih di sekitar negeri itu.
Menurut sumber SPRM, penahanan itu merupakan siasatan peringkat ke-2, selepas peringkat pertama pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, 5 daripadanya direman 7 hari bermula hari ini, manakala 17 individu lain dibebaskan dengan jaminan.
Kelmarin, 23 daripada 24 penguat kuasa JPJ negeri yang direman SPRM Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi masih ditahan berikutan siasatan ke atasnya belum selesai.
Rabu lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan reman 7 hari ke atas 30 individu, termasuk 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang.
Perintah reman itu dibuat susulan tangkapan SPRM dalam operasi khas di seluruh Pulau Pinang Selasa lalu.