
Laporan itu mendapati kru menjerit “kami terlanggar sesuatu” sejurus mendarat, tetapi satu rakaman kokpit menunjukkan mereka tidak sedar pesawat persendirian itu melanggar sebuah Perodua Kembara dan menyebabkan pemandunya meninggal dunia 2 hari selepas dirawat di hospital.
“Siasatan terperinci ke atas SOP untuk kenderaan beroperasi di landasan akan dijalankan, khasnya peralatan khas yang perlu diletakkan dalam kenderaan itu apabila ia memasuki landasan, seperti peralatan komunikasi radio dan ‘rotating beacon’,” kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam kenyataan mengenai penemuan awal itu hari ini.
Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggal dunia 2 hari selepas kemalangan pada 3.20 pagi 18 Mac lalu.
Loke dalam sidang media hari ini berkata, 2 pengawal trafik udara (ATC) yang bertugas ketika kejadian itu, masih digantung tugas.
Pada 12.50 pagi 18 Mac lalu, katanya, ATC yang bertugas membenarkan sebuah kenderaan memasuki landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah untuk melakukan kerja menyelenggara lampu.
Pada 1 pagi, sebuah lagi kenderaan penyelenggaraan dan sebuah kenderaan pengiring dibenarkan memasuki landasan bagi kerja mengecat.
Semua komunikasi antara kenderaan pengiring dan menara kawalan dibuat melalui walkie-talkie dan kenderaan kontraktor yang dinaiki 3 individu itu, tiada cara berkomunikasi dengan menara kawalan.
“Pada 2.15 pagi, ATC menerima permohonan daripada kontraktor yang menyelenggara lampu untuk mengosongkan landasan kerana kerja mereka sudah selesai.”
ATC syif itu mencatat dalam buku log menara kawalan yang kerja penyelenggaraan di landasan sudah selesai dan semua kenderaan sudah keluar dari landasan, sedangkan masih ada 2 kenderaan di sana, iaitu kontraktor mengecat dan kenderaan pengiring.
Kerja mengecat masih berjalan ketika itu.
Menurut pekerja kontraktor yang mengecat garisan tengah dari kawasan 15 hingga 33 landasan, kenderaan pengiring itu pada mulanya mengekori rapat ketika kerja mengecat dijalankan.
“Selepas seketika, pekerja menyedari kenderaan pengiring itu ketinggalan tanpa alasan jelas dan kekal statik sejauh 30m di belakang.”
Pada 3 pagi, ATC (syif 2) menyerahkan tugasnya kepada ATC (syif 3) tanpa maklumat tambahan, selain yang tercatat dalam buku log.
Apabila pesawat itu melaporkan kedudukannya kepada menara kawalan untuk persediaan mendarat, ATC itu memeriksa sebarang aktiviti tidak normal atau pencahayaan luar biasa untuk menunjukkan kenderaan yang ada di landasan itu.
“Kebenaran mendarat diberikan kepada pesawat itu selepas ATC berpuas hati dengan landasan kosong bagi pesawat membuat pendaratan.”
Pekerja kontraktor kemudian menyedari sebuah pesawat sedang mendarat dan segera masuk ke dalam kenderaan mereka untuk meninggalkan landasan.
“Ketika membuat pusingan 180 darjah, mereka menyedari kenderaan pengiring masih statik pada kedudukan terakhirnya.”
Mereka memancar lampu depan beberapa kali untuk menarik perhatian, tetapi tiada reaksi diterima.
Ketika mendarat, pesawat itu melanggar kenderaan pengiring yang dinaiki Razali. Pelanggaran itu menyebabkan beliau cedera parah di kepalanya.
Loke berkata, pihak berkuasa masih menyiasat punca kenderaan Razali kekal statik.
Ketua Inspektor Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kapten Yahaya Abdul Rahman yang turut hadir dalam sidang media hari ini, mendedahkan tempat duduk Razali sudah diturunkan ketika kejadian.
Seorang pakar dipelawa untuk menentukan jika lampu strob kenderaan penyelenggara dipasang.
Bagaimanapun, Loke berkata, ia tidak boleh menyimpulkan Razali tertidur.
Yahaya berkata, AIIB sedang mengkaji permohonan pengawal trafik tunggal bertugas bagi syif 12 tengah malam hingga 6.30 pagi dan cadangan lain untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, Loke berkata, siasatan masih diteruskan dengan laporan penuh akan disiapkan dalam 11 bulan dan terlalu awal untuk menyalahkan mana-mana pihak buat masa ini.
Katanya, siasatan akan dijalankan secara telus dan laporan awal akan didedahkan kepada umum.