
Menteri Pembangunan Infrastruktur, Peter Anthony dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini berkata kerajaan perlu membayar RM15.5 juta sebulan kepada kontraktor, kerana perjanjian yang ditandatangani pentadbiran lepas.
“Itu kira-kira RM500,000 sehari. Itu tidak termasuk peralatan, rumah pam, elektrik dan banyak lagi.
“Sekarang kita sudah mengambil alih pengendalian dan penyelenggaraan 58 loji air, kita membuktikan kebolehan kita kerana loji-loji itu masih dalam keadaan baik.
“Apabila kita bayar gaji, paling banyak sekitar RM3 juta, ia jauh lebih rendah daripada bayaran kepada syarikat konsesi. Kita sudah menjimatkan RM12 juta.”
Atas sebab itu, tiada sebab untuk kementerian enggan membayar gaji 1,350 bekas pekerja syarikat konsesi yang diserapkan atau membayar gaji harian, katanya.
Setakat ini, seramai 1,200 pekerja-pekerja itu menerima tawaran kerja daripada kementerian dan berkata gaji Januari dan Februari dibayar penuh.
Gaji Mac akan dibayar tidak lama lagi.
“Saya tahu ada mesej tular di media sosial mengatakan saya berbohong dan mungkir janji membayar gaji mereka yang tidak kurang daripada RM1,200.
“Saya menafikan semua tuiduhan itu kerana saya sudah mengarahkan Jabatan Air jangan kurangkan gaji mereka tetapi menambahnya.”
Beliau berkata pekerja-pekerja itu sekarang ini dilantik sebagai pekerja separuh masa yang dibayar gaji harian.
Beliau menambah lantikan itu langkah yang terbaik untuk menyerap 1,350 pekerja selepas kerajaan berbincang dengan suruhanjaya perkhidmatan negeri.
Beliau berkata aturan itu percepatkan proses lantikan ke jawatan tetap dan persiapkan gaji bulanan berbanding melantik mereka menjadi pekerja kontrak atau sementara.
Mereka adalah pekerja 6 syarikat konsesi air yang diberi kontrak untuk mengendalikan 58 loji rawatan air.
Syarikat konsesi masih mempunyai kontrak berbaki 13 tahun dan 5 bulan tetapi kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak itu bagi menjimatkan wang.
Jabatan Air kemudian mengambil alih pengendalian loji-loji itu.
Kontrak konsesi ditamatkan pada 15 Januari 2019.
Akibatnya, 6 syarikat berkenaan sedang menyaman kerajaan negeri dan menuntut ganti rugi RM409 juta kerana penamatan secara salah dan pampasan seperti yang dinyatakan dalam kontrak.