Inisiatif BUDI95 ‘cekap’, ‘mampan dari segi fiskal’, kata aktivis pengguna

Inisiatif BUDI95 ‘cekap’, ‘mampan dari segi fiskal’, kata aktivis pengguna

Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia Tarmizi Anuwar berkata sebuah isi rumah empat orang yang menggunakan 1,200 liter RON95 boleh nikmati penjimatan RM72 sebulan.

pam minyak petrol pump
Bermula 30 Sept rakyat Malaysia akan menikmati penjimatan dianggarkan 61 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding harga pasaran.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis hak pengguna menyifatkan inisiati Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai langkah efisien dan mampan dari segi fiskal untuk jangka panjang.

“Subsidi pukal (sedia ada) tidak efisien dan tidak mampan dari segi fiskal,” kata wakil Pusat Pilihan Pengguna (CCC) Tarmizi Anuwar kepada FMT.

Beliau berkata, skim lama tidak eksklusif untuk rakyat Malaysia kerana warga asing yang memandu kenderaan berdaftar di Malaysia juga layak membeli RON95 pada harga subsidi tinggi.

“Hakikatnya, harga pasaran sebenar RON95 sepatutnya sekitar RM2.60 seliter,” katanya.

Menerusi BUDI95, harga RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter dan dinikmati semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah, dengan pengesahan dilakukan menggunakan MyKad.

Anggota tentera dan polis menerima manfaat itu mulai semalam diikuti sembilan juta golongan B40 yang terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) hari ini sebelum diperluas kepada pengguna lain mulai 30 Sept.

Menurut Tarmizi, memandangkan rakyat Malaysia sudah lama menikmati petrol bersubsidi, penjimatan itu secara realiti kelihatan hanya sekitar enam sen seliter.

Namun begitu, ia tetap memberikan lebih banyak pendapatan boleh guna kepada isi rumah, khususnya mereka yang mempunyai penggunaan bahan api lebih tinggi.

“Isi rumah dua orang yang menggunakan 600 liter boleh jimat RM36 sebulan, manakala isi rumah empat orang dengan penggunaan 1,200 liter boleh jimat RM72,” katanya.

Walaupun jumlah itu mungkin tidak mengubah kehidupan, Tarmizi berkata ia sekurang-kurangnya meringankan tekanan kewangan keluarga dan individu, sekali gus membolehkan mereka berbelanja lebih pada keperluan asas seperti makanan, utiliti dan sekolah.

Pensyarah ekonomi dari Universiti Malaya, Goh Lim Thye, menganggarkan penjimatan purata bagi pengguna harian adalah sekitar RM6 hingga RM10 bergantung kepada penggunaan.

Katanya, pengguna jarak jauh seperti pemandu e-hailing dan keluarga dengan beberapa kenderaan akan menikmati manfaat lebih besar.

Goh turut merujuk kadar inflasi Malaysia yang rendah iaitu 1.3% pada Ogos lalu dan menjelaskan kesan tidak langsung daripada harga petrol lebih murah dijangka mengatasi penjimatan langsung di pam.

Pensyarah Putra Business School, Ida Yasin, pula berkata impak penjimatan petrol bergantung besar pada jumlah penggunaan isi rumah.

“Bagi mereka yang tidak menggunakan banyak petrol, kesannya mungkin tidak begitu ketara.

“Tetapi untuk pengguna tegar, walaupun penurunan kecil memberi perbezaan besar,” katanya sambil menambah ia membolehkan rakyat Malaysia mempunyai lebih wang untuk berbelanja.

Orang ramai boleh melayari portal khas www.budimadani.gov.my untuk semakan dan maklumat lanjut berkait BUDI95 selain menghubungi talian bantuan di 1300-88-9595.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.