
Mohd Zaireen Zainal pada mulanya didakwa mengedar dadah yang membawa hukuman mati.
Bagaimanapun, dia dihukum 15 tahun penjara dan 10 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih rendah.
Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim memerintahkan Zaireen menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 27 Ogos 2014.
Hakim lain dalam panel itu ialah Ramly Ali, Rohana Yusof, Abang Iskandar Abang Hashim dan Idrus Harun.
Timbalan Pendakwa Raya, Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah pihak pendakwa bersetuju untuk mengurangkan pertuduhan pengedaran dadah terhadap Zaireen di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan menggantikannya dengan Seksyen 6 undang-undang yang sama.
Zaireen sebelum ini meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semakan tuduhan pengedaran dadah dengan alasan tiada unsur “pengedaran” dalam kesnya.
Mengikut fakta kes, polis menyerbu rumah Zaireen di Batu Pahat, Johor pada awal pagi, 27 Ogos 2014 selepas menerima maklumat.
Semasa serbuan, polis menemui beberapa botol minyak kanabis dan ganja yang dimampatkan.
Ahli kimia itu kemudian mengesahkan barang-barang yang dirampas ialah 1.10 kg kanabis dan 58.5ml Tetrahydrocannabinol, bahan yang terdapat dalam ganja.
Mahkamah Tinggi Muar menjatuhi hukuman mati terhadap Zaireen kerana mengedar 1.10kg kanabis pada 2014, keputusan yang dipertahankan oleh Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, peguam Zaireen, Kitson Foong, berkata anak guamnya tidak pernah bermaksud membahayakan sesiapa dengan jumlah ganja yang dimilikinya.
“Pemilikan itu tidak dimaksudkan untuk mencari keuntungan kerana dia hanya memberi ia kepada pesakit di kampungnya sebagai kaedah rawatan alternatif,” katanya.
Foong berkata Zaireen yang dipenjarakan sejak ditahan kehilangan hak penjagaan anak lelakinya.
“Kami menyeru mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum supaya dia kembali kepada masyarakat. Ahli keluarganya masih menyokongnya,” katanya, sambil menambah Zaireen berjanji dia tidak akan melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.