Keusahawanan koperasi disasar sumbang RM55b KDNK menjelang 2020

Keusahawanan koperasi disasar sumbang RM55b KDNK menjelang 2020

Lebih 1,300 koperasi memasuki sektor perladangan dan berjaya meningkatkan keberhasilan masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Moh Hatta Md Ramli.
KUANTAN:
Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan bidang keusahawanan koperasi mampu menyumbang sehingga RM55 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, kata Timbalan Menterinya, Mohd Hatta Md Ramli.
Menurutnya, kementerian optimis sasaran itu dapat dicapai berdasarkan pencapaian bidang itu yang meraih sehingga RM40 bilion tahun lepas.
“Ia dapat dilihat menerusi perkembangan keusahawanan koperasi dengan lebih 1,300 koperasi memasuki sektor perladangan Malaysia dan berjaya meningkatkan keberhasilan mereka,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen Keusahawanan Koperasi: Sektor Perladangan dan Industri Asas Tani Berimpak Tinggi Memacu Peningkatan Pendapatan, di sini, hari ini.
Hatta berkata, koperasi yang mempunyai tanah di kawasan luar bandar digalakkan menceburi sektor pertanian dan industri asas tani, dan tidak hanya menjalankan aktiviti secara konvensional.
“Selaras usaha Institut Koperasi Malaysia (IKM) yang memperkasa program berimpak tinggi, usahawan digesa memberi penumpuan kepada sektor perladangan dan asas tani yang kian mempelopori pertumbuhan ekonomi negara serta menjamin kestabilan bekalan makanan negara.
“Malaysia mengimport makanan sebanyak RM17 bilion setahun dan ini membuatkan kita kehilangan begitu banyak tukaran asing,” katanya.
Kataya lagi, kebergantungan negara kepada import makanan sangat tinggi dan boleh menggugat kestabilan negara sekiranya berlaku sesuatu kepada negara yang menjadi sumber import itu.
“Kita harus mempersiapkan pengeluaran dalaman kita, terutamanya makanan. Selain jaminan bekalanan makanan dalam negara, kita juga dapat membantu rakyat mendapatkannya pada harga lebih berpatutan (tanpa cukai import),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.