Hatta: Kerajaan sasar PKS sumbang hingga RM500 bilion akhir 2020

Hatta: Kerajaan sasar PKS sumbang hingga RM500 bilion akhir 2020

Kementerian Pembangunan Usahawan akan memberi tumpuan membantu usahawan PKS dengan mencari pasaran lebih besar.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Hatta Md Ramli berkata, hampir satu juta usahawan berdaftar di bawah kementerian dengan 97% daripada jumlah itu usahawan PKS.
KOTA BHARU:
Kementerian Pembangunan Usahawan menyasarkan hasil sumbangan ekonomi daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencecah RM500 bilion menjelang akhir 2020.

Timbalan Menterinya Mohd Hatta Md Ramli berkata, kementerian akan memberi tumpuan membantu usahawan PKS dengan mencari pasaran lebih besar.

“Ini termasuklah mengeksport hasil keluaran mereka dan yang belum mula (berniaga) kita galakkan dengan perniagaan kecil dahulu,” katanya selepas merasmikan majlis makan malam Kelab Usahawan Wanita Kelantan (KUWAK) sempena mesyuarat agung kali ke-3 yang turut dihadiri pengerusi KUWAK Nor Ariati Salleh di sini, malam tadi.

Mohd Hatta berkata, sehingga kini hampir satu juta usahawan berdaftar di bawah kementeriannya dengan 97% daripada jumlah itu usahawan PKS.

“Walaupun jumlah usahawan PKS kita ramai, namun sumbangan mereka kepada ekonomi negara masih kecil sekitar 37% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata, jika usahawan dapat mempertingkatkan hasil perniagaan mereka, ia akan mewujudkan kumpulan masyarakat yang berupaya keluar daripada kemiskinan serta kelompok B40 menjadi lebih berjaya.

“Ia bukan mustahil terutama dalam kalangan wanita, malah kementerian kita pun menyasarkan usahawan daripada kaum wanita selain daripada graduan yang tidak bekerja selepas tamat belajar untuk mempertingkatkan perniagaan dan mutu kehidupan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.