SPRM rampas dokumen milik Maika Holdings, siasatan diperluas

SPRM rampas dokumen milik Maika Holdings, siasatan diperluas

Serbuan itu bagi merampas beberapa dokumen berkaitan dengan siasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, kata sumber.

S Vell Paari
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dokumen milik Maika Holdings semalam, menurut sumber yang rapat dengan siasatan.

Beliau berkata serbuan itu bagi merampas beberapa dokumen berkaitan dengan siasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Ya, dokumen-dokumen setiausaha syarikat dan penyelesai dirampas,” katanya kepada FMT.

Satu lagi sumber yang rapat dengan siasatan berkata lebih banyak dokumen mungkin diambil dan beberapa orang akan disoal mengenai isu itu.

Serbuan dijalankan bagi menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa di Maika susulan pendedahan oleh laman Sarawak Report awal tahun ini.

Laman itu mendakwa Maika menyerahkan jutaan ringgit tunai dan bentuk bayaran lain kepada syarikat-syarikat berkaitan bekas ketua eksekutif, S Vell Paari, antara 2003 dan 2009, sebelum ia ditutup.

Laman itu berkata walaupun siasatan 7 tahun ke atas penutupan syarikat itu, yang menyebabkan simpanan milik 66,400 pemegang saham kerugian, kertas siasatan tidak pernah didedahkan.

Dalam 1 afidavit mengenai keadaan itu, penyelesai didakwa merujuk kepada bukti salah laku dan penggelapan dana semasa penutupan syarikat itu.

Vell Paari sekarang ini merupakan setiausaha agung MIC dan anak kepada bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Maika dimulakan oleh Samy Vellu pada 1980-an sebagai syarikat pelaburan, dengan menumpukan kepada masyarakat India.

Ia mengutip RM106 juta daripada 66,400 pemegang saham – 70% daripadanya berpendapatan rendah – untuk kegiatan pelaburan, tetapi keuntungannya didakwa disalurkan ke tempat lain.

Bekas ahli Parlimen Kapar, G Manivannan sebelum ini berkata walaupun MIC dan kerajaan persekutuan cuba selesaikan masalah itu, mereka yang bertanggungjawab tidak dibawa ke muka pengadilan.

Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira), rakan strategik Pakatan Harapan, menyediakan memorandum menuntut penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas skandal Maika.

Pada 2013, G Team Resources & Holdings Sdn Bhd, diketuai hartawan G Gnanalingam dan S Kunasingam, mengambil alih Maika. Pada 2015, G Team bersetuju membayar balik pemegang saham Maika yang belum menyerahkan saham-saham mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.