
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya akan menjadi perdana menteri, itu cerita-cerita orang, cerita masa buat ceramah untuk jadi lauk tambah.
“Kita jangan kejar bayang-bayang, lagi kita kejar bayang-bayang lagi cepat ia berhenti,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan Utama BN hari ini.
Mohamad turut meminta orang ramai termasuk rakan sejawatnya berhenti daripada membuat spekulasi tersebut kerana ia akan menjadi senjata “membunuh” karakternya sebagai ahli politik dan pemimpin parti.
Mohamad berkata demikian mengulas kenyataan segelintir pemimpin Umno yang mengatakan beliau bakal menjadi perdana menteri menerusi pentas ceramah sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, memandangkan beliau kini mengalas tugas presiden.
“Saya harap kawan-kawan, rakan sekerja saya tidak akan mengatakannya, semakin anda mengatakanya, orang akan bunuh saya lagi cepat.
“Saya tidak dengar ceramah mereka, kalau saya ada di situ saya suruh mereka diam dan memberhentikannya.
“Jangan buat macam itu, ia akan menyebabkan spekulasi tidak sihat, bukan sahaja orang luar tikam saya, orang dalam pun akan menyiapkan pisau-pisau tajam untuk tikam saya,” katanya sambil berseloroh.
Antara pemimpin, yang menyebut Mohamad bakal menjadi perdana menteri ialah bekas presiden MIC, S Subramaniam dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.