
Mukhriz, yang juga menteri besar Kedah, berkata bekas pemimpin negara itu dilihat seolah hilang akal apabila mengajar anak muda nilai negatif dengan membawa slogan seperti “Malu Apa Bossku”.
Katanya, situasi itu dilihat berbahaya apabila anak muda dilihat kurang faham dengan situasi semasa seolah-olah mengiktiraf dan membenarkan perbuatan bekas pemimpin itu melaung-laungkan slogan berkenaan.
“Ini nilai cuba diterap oleh anak muda… ada ahli Parlimen BN kata kalau orang curi duit itu belum lagi dikira curi selagi tidak ditangkap. Saya bimbang anak muda kita terpengaruh dengan fahaman ini.
“Sangat bahaya kalau anak muda ada fahaman macam itu. Maka rosaklah satu negara,’’ katanya ketika berucap pada ceramah umum di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dan calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Rantau, Dr S Streram.
PRK Rantau pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Streram, calon BN, Mohamad Hasan dan 2 calon bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.