
Beliau dimaklumkan perkara itu dalam sidang meja bulat bersama tiga wakil persatuan penduduk termasuk Gabungan Penduduk Kuala Lumpur dan Pembangunan Mampan (KLRA+SD), petang tadi.
Sidang meja bulat itu turut dihadiri wakil parti politik lain antaranya Bersatu, PAS, Gerakan, Muda, Urimai, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Sangat mengejutkan, apatah lagi ini berlaku walaupun Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) masih belum diluluskan.
“Misalnya, penduduk ditanya apa kemudahan dikehendaki, tentu mereka akan ‘tick’ apa yang disukai. Kemudian mereka diminta tandatangan dan meletakkan nombor kad pengenalan, dan ada lagi kandungan ayat di bahagian bawah yang tidak ditekankan kepada penduduk,” katanya dalam sidang media.
Mukhriz turut menyifatkan ia sebagai penipuan dan perbuatan menidakkan hak penduduk tanpa memberi penjelasan sebaik-baiknya kepada mereka, kerana tandatangan itu dianggap sebagai ‘persetujuan’.
Justeru, beliau berkata sidang meja bulat hari ini sebulat suara menyokong RUU PSB ditolak sepenuhnya.
“Bukan sekadar draf RUU tersebut perlu ditambah baik tapi kena ditolak sepenuhnya. Tiada ruang untuk ia dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Sebaliknya, undang-undang sedia ada boleh ditambah baik khususnya ‘regeneration’ kawasan perumahan yang usang dan lama, bukannya pendekatan roboh dan membina semula,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata ‘roadshow’ akan diadakan bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai ‘ancaman’ di sebalik RUU itu.
“Rata-rata masih banyak tak faham apa sedang berlaku…bagaimana peraturan sedia ada disalah guna, taktik pemaju menyalahi undang-undang dan sebagainya,” dakwanya.
Perbahasan RUU PSB ditangguhkan ke sidang Dewan Rakyat akan datang pada Oktober susulan bantahan Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan khususnya berhubung ambang persetujuan bagi projek pembangunan semula.
RUU PSB dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, untuk bacaan kali pertama 21 Ogos lalu, bertujuan menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkaitan pembangunan semula kawasan bandar usang.