Tiada hasrat pinda akta larang sebelah pihak tukar agama anak, kata Muhyiddin

Tiada hasrat pinda akta larang sebelah pihak tukar agama anak, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kesimpulan Jabatan Peguam Negara yang badan kehakiman mempunyai hak mutlak untuk menafsir undang-undang sedia ada.

Muhyiddin Yassin berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah rendah.
KUALA LUMPUR:
Putrajaya tiada berhasrat memasukkan Fasal 88A kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 untuk melarang penukaran agama kanak-kanak oleh sebelah pihak, jika seorang daripada ibu bapa memeluk Islam.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, ini berdasarkan kesimpulan Jabatan Peguam Negara, ia terpulang kepada badan kehakiman untuk menafsir undang-undang sedia ada.

Katanya, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi pada 2018 menghentikan penukaran agama sebelah pihak ke atas 5 kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

“Sehubungan itu, cadangan untuk memasukkan Fasal 88A (dalam akta itu) telah diteliti semula bersama Jabatan Peguam Negara.

“Hasil penelitian tersebut menyimpulkan bahawa mahkamah sebagai badan kehakiman mempunyai kebebasan untuk menafsirkan sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) untuk perkembangan berhubung kajian kerajaan ke atas Fasal 88A.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan membatalkan penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi oleh bekas suaminya.

Bekas perdana menteri, Najib Razak sebelum ini berkata, kerajaan mungkin mempertimbangkan pindaan undang-undang supaya ia seiring penghakiman mahkamah itu.

Pada November tahun itu, kerajaan Barisan Nasional membentangkan satu rang undang-undang untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 untuk memasukkan Fasal 88A. Tetapi, ia kemudiannya ditarik balik susulan bantahan kuat.

Fasal 88A menyatakan agama kanak-kanak “perlu kekal sebagai agama pihak-pihak itu kepada perkahwinan sebelum penukaran agama” dan kanak-kanak itu boleh memeluk Islam, selepas mereka berusia 18 tahun dengan persetujuan daripada kedua ibu bapanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.