
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pendaftar Muallaf Negeri berusaha untuk mengembalikan status penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak itu kepada Islam di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi membatalkan rayuan mereka sebelum ini.
Ketiga-tiga remaja itu berusia antara lapan dan 13 tahun apabila bapa mereka menukar agama mereka di sebuah masjid di Batu Muda, Gombak pada 16 Mac 2015. Keesokan harinya, bapa mereka mendaftarkan agama mereka di Hidayah Center Foundation, iaitu sebuah entiti di bawah kerajaan negeri.
Ibu mereka yang bukan beragama Islam – yang telah bercerai – mendakwa dia tidak dirundingi mengenai pertukaran anak mereka kepada Islam. Kanak-kanak terbabit juga mendakwa mereka tidak bersetuju untuk memeluk Islam.
Ibu dan kanak-kanak itu kemudiannya memfailkan saman terhadap MAIS bertujuan untuk membatalkan penukaran agama itu. Kerajaan persekutuan dinamakan sebagai defendan bersama dalam saman tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Abdul Wahad pada 28 Dis 2020 memutuskan untuk menyokong permohonan ibu dan kanak-kanak itu untuk membatalkan penukaran agama mereka kepada Islam.
Mahkamah memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes penukaran agama kanak-kanak guru tadika M Indira Gandhi yang memutuskan bahawa persetujuan ibu dan bapa diperlukan.
Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi, MAIS memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Semasa perbicaraan rayuan hari ini, peguam MAIS Haniff Khatri Abdulla memaklumkan kepada mahkamah bahawa akan ada kes penukaran agama sebelah pihak yang sama di Mahkamah Persekutuan esok dan persoalan undang-undang yang sama akan dibangkitkan.
Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan akan mendengar permohonan MAIS yang membuat rayuan untuk mengembalikan semula agama asal lima kanak-kanak – yang dibuat oleh bapa mereka – kepada Islam.
“Saya dengan rendah hati memohon agar pendengaran ini ditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan kebenaran kami esok,” katanya.
Peguam Sa’adiah Din, yang mewakili ibu dan tiga kanak-kanak itu berkata, mereka tidak mempunyai bantahan jika perbicaraan itu ditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan menyelesaikan kes lain.
Hakim Suraya Othman kemudian berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan baharu sementara menunggu kes Mahkamah Persekutuan.
Hakim Mahkamah Rayuan lain yang bersidang bersamanya adalah Azizah Nawawi dan Hashim Hamzah.
Dalam kes esok, MAIS memohon untuk merayu terhadap keputusan mahkamah rendah yang membenarkan permohonan seorang ibu berusia 33 tahun untuk membatalkan penukaran agama lima anaknya kepada Islam yang dilakukan sebelah pihak oleh bekas suaminya.
Bekas suaminya itu menukar agama kelima-lima anak itu – berumur antara lapan dan 14 tahun – pada 2018, tanpa pengetahuan dan persetujuan ibu.
Dia hanya mengetahui anak-anaknya beragama Islam selepas menerima surat daripada MAIS pada 2019.
Dalam membenarkan permohonan ibu terbabit, hakim Mahkamah Tinggi Tun Abd Majid Tun Hamzah berkata, keputusan kes Indira adalah mengikat mahkamah rendah dan enakmen Selangor dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua bapa dan ibu mesti bersetuju dengan pertukaran agama anak-anak mereka.