Polis didakwa culik, KPN respon selepas baca laporan Suhakam

Polis didakwa culik, KPN respon selepas baca laporan Suhakam

Masih terlalu awal untuk memberikan sebarang ulasan tanpa meneliti butiran penemuan inkuiri, kata Fuzi Harun.

Fuzi Harun.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun akan respon kepada dakwaan polis bertanggungjawab atas kehilangan aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh selepas membaca laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Beliau berkata sekarang masih terlalu awal untuk memberikan sebarang ulasan tanpa meneliti butiran penemuan inkuiri, lapor akhbar Malay Mail.

Pagi tadi, Suhakam mempertanggungjawabkan Cawangan Khas atas kehilangan Amri dan Koh, yang didapati menjadi mangsa kehilangan paksa.

Amri, seorang aktivis dari Perlis, hilang pada penghujung 2016, sementara Koh dilihat diculik oleh beberapa orang pada siang hari pada Februari 2017.

Amri dituduh menyebarkan ajaran Syiah, tuduhan yang dinafikan isterinya, dan Koh disiasat pihak berkuasa agama kerana cuba mengkristiankan orang Islam ketika menganjurkan satu acara yang dihadiri orang Islam di sebuah gereja.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim juga tidak mahu mengulas dakwaan Suhakam ketika ditemui di Parlimen hari ini.

“Kita bagi Kementerian Dalam Negeri jawab dulu,” katanya.

Fuzi akan bersara wajib pada Mei ini, selepas 35 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.