
Presiden PKR itu berkata, keputusan Aminudin melepaskan jawatan sebagai presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) kerana tidak bersetuju dengan penjualan arak di sana dan berpegang kuat kepada haknya sebagai seorang Islam.
Katanya, tindakan Aminuddin itu bukan berniat menyakiti hati bukan Melayu atau mempunyai sikap ekstremis, tetapi atas prinsip Islam yang tidak boleh bersubahat dalam soal minumam alkohol.
“Saya minta orang bukan Islam faham, kadang-kadang sesetengah orang Islam lupa dalam Islam tidak boleh bersubahat.
“Tapi jangan lupa juga kita tidak boleh halang hak bukan Islam. Saya berharap kaum lain, India dan Cina memahami kenapa dia mengambil keputusan itu.
“Jangan selepas ini jadikan ia sebagai isu waktu (kempen) ini,” katanya semasa berucap dalam ceramah umum di Kampung Felda Sendayan.
25 Mac lalu, Aminuddin mengumumkan meletak jawatan sebagai presiden SIGC susulan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) SIGC memutuskan untuk menjual arak di kelab tersebut.
Terdahulu, EGM SIGC menarik balik larangan penjualan minuman keras di kelab golf tersebut yang sebelum ini dilaksanakan berikutan cadangan Aminuddin.
Seramai 135 ahli berbayar kelab golf itu menghadiri mesyuarat tersebut dan menolak keputusan jawatankuasa pengurusan tidak menjual minum berkenaan yang dibuat dalam mesyuarat pada 20 Ogos tahun lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, selaku pemimpin utama PKR beliau bertanggungjwab untuk menjelaskan perkara sebenar bagi memastikan bukan Islam tidak salah faham.
“Bukan Islam yang minum arak adalah hak mereka dan kita tidak ada hak untuk menghalang atau menyekat daripada minum.
“Mohamad Hasan tak apalah, dia tolak ansur, pasal dia baik dengan PAS, jadi arak jual tak apa,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berkongsi pengalaman berdepan situasi semasa menjadi presiden Unesco di Paris.
“Ketika itu semua minum wain tetapi saya tidak, dan juga tidak menghidangkannya apabila menemani mereka tetapi masih sempat menang sebagai presiden Unesco, diundi pemimpin serata dunia.
“Saya berharap ini akan memahamkan anda semua dan tidak lagi dijadikan bahan dan dibesarkan lagi isu itu,” katanya.