
Fesyen gaun merah yang digayakan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 mendapat perhatian ramai pihak.
Busana rekaan duo Fizi Woo yang dinamakan red tulle ball gown itu digayakan pada segmen balada yang mana Siti atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Ti menyampaikan lagu-lagu balada popularnya.
Fizi berkata, rekaan itu dibuat khas untuk Tok Ti dengan menyuntik elemen menerusi lirik-lirik lagu balada yang sinonim dengan penyanyi nombor satu negara itu.
“Ini merupakan kali kedua kami membuat busana untuk beliau dan sudah tentu rasa gementar dan kami buat sedikit kajian tentang baju-baju yang pernah dipakai oleh Tok Ti dan apa yang sesuai dengannya.
“Untuk segmen balada kami tidak boleh terlalu moden dan terlalu tradisional, jadi kami jadikan beberapa lirik lagu popularnya sebagai rujukan utama pada baju berkenaan,” katanya memetik laporan media.
Tambahnya, terdapat lapan lirik daripada lagu-lagu popularnya yang disulam pada busana itu.
Bagaimanapun, Fizi berkata, ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
“Terdapat lapan lirik daripada lagu-lagu yang sinonim dengan Tok Ti tapi ia tidak dapat dilihat ketika beliau sedang menyanyi. Sesuatu yang seni tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya.
Berikut senarai lapan lirik tersebut:
1. Jerat Percintaan
“Perlukah kita untuk berkorban demi pertahankan kebahagiaan.”
2. Wajah Kekasih
“Adakah mungkin untukku menghindari gurisan kasih luka di hati.”
3. Pendirianku
“Sejak mula ku kenali oh dirimu kasih.”
4. Aku Cinta Padamu
“Belum puas ku menikmati kesan kasih sayang kau terpaksa pergi.”
5. Purnama Merindu
“Purnama mengambang cuma berteman bintang berkelipan dan juga awan.”
6. Kau Kekasihku
“Seiring camar pulang setia pada janji itu doaku selama ini.”
7. Percayalah
“Kasihmu lama tersulam di ruang paling dalam.”
8. Bukan Cinta Biasa
“Cintaku bukan di atas kertas, cintaku getaran yang sama.”
Dalam pada itu, Fizi berkata, dia tidak meletakkan batu permata pada baju berkenaan berikutan Tok Ti sendiri digambarkan sebagai sebuah batu permata yang berharga.
“Kami tak letak batu kerana kami rasakan ia tidak perlu kerana bagi kami penonton akan beri perhatian kepada Tok Ti pada malam itu.
“Kami tidak mahu baju yang sarat akan menenggelamkan Tok Ti di atas pentas itu nanti. Orang akan beri perhatian kepada persembahannya sahaja pada malam tersebut,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]