
Tiba-tiba nama Jamilah yang pernah dipopularkan oleh Jamal Mirdad kembali jadi sebutan. Lagu Indonesia yang saya pernah nyanyi waktu awal remaja dahulu kini popular semula. Nama Jamilah kembali menerpa gegendang telinga saya sewaktu melayan media sosial. Apabila masuk ke restoran, kerap saya dengar ia dimainkan. Serta-merta memori lagu tersebut yang sekian lama terperuk di dalam otak saya tercungkil keluar lalu lancar sahaja ia keluar meniti di bibir.
Penangan TikTok memang cukup kuat. Video pelakon Que Haidar berbaring ketika hendak tidur sambil ‘miming’ lagu itu telah tular dan menangkap minat generasi baru yang mungkin tidak pernah mengenali nama penyanyi asalnya. Irama dan liriknya yang merakyat tiba-tiba menjadi siulan di TikTok dan Instagram, dinyanyikan semula dalam versi lebih moden tetapi masih memikat.
Orang kembali bertanya, apa itu ‘pak lurah’ kalaupun tidak bertanya mengapa harus ke rumah penghulu untuk melangsungkan perkahwinan? Secara tak langsung kita terimbas semula bahawa inilah gambaran suasana dulu-dulu yang masih kuat ciri kampungnya di dalam rumpun nusantara kita.
Fenomena lagu lama naik semula ini bukan sesuatu yang baharu. Sebelum Jamilah, kita sudah menyaksikan bagaimana lagu Tiara ciptaan M Nasir dan dipopularkan oleh kumpulan Kris pada 1990 kembali hidup walau sudah lebih tiga dekad berlalu. Seperti Jamilah juga, ia meletup di Malaysia dan Indonesia. Sewaktu saya ‘shooting’ untuk telemovie yang berlokasikan sebuah sekolah menengah, saya terdengar seorang pelajar menyanyikan lagu Tiara. Saya fikir mungkin pelajar ini punya selera lagu lama akibat pengaruh orang tuanya tetapi kemudiannya barulah saya dapat tahu yang lagu Tiara versi TikTok sedang meletup waktu itu.
Saya duduk meneliti apakah yang boleh dipelajari daripada fenomena naiknya semula Tiara dan Jamilah ini. Apa yang membuatkan sesuatu lagu boleh hidup dua kali pada zaman yang berbeza? Atau, untuk lebih luas skopnya – mengapa sesebuah karya itu boleh mencipta gelombang lebih dari sekali. Mungkin kerana ‘masa’ punya rahsia tersendiri dalam menggerak sesebuah karya.
Kadang-kadang zaman belum bersedia untuk menerima apa yang kita hasilkan. Barangkali kepekaan seseorang seniman atau karyawan itu terlalu laju sehingga karyanya dilahirkan terlalu awal. Itu jika sesebuah karya yang dulunya tak diterima tetapi setelah bertahun baharulah mendapat perhatian. Manakala dalam kes lagu Tiara dan Jamilah, ia meletup pada dua zaman. Bagi saya, keduanya ‘kena’ pada zaman itu tetapi pudar dengan cepat kerana tertindih dengan lambakan karya lain yang sama seperti itu juga. Seperti berbagai jenis bungkusan nasi lemak buatan ramai tukang masak yang bersaing sesama sendiri di atas sebuah meja. Pelanggan dihidangkan dengan banyak pilihan dan seolah dipaksa menikmati ke semuanya dengan pantas sehingga terlupa yang mana satu benar-benar sedap. Semuanya dirasakan hampir sama. Sehinggalah bila suasana sudah berubah, seseorang teringat semula pada salah satu bungkusan nasi lemak yang dibuat oleh salah seorang daripada beberapa tukang masak tersebut dan mengangkatnya kembali. Ini membuatkan orang ramai kembali perasan bahawa nasi lemak yang satu itulah yang paling sedap di antara yang lainnya. Dan, macam itu saja, ia pun naik kembali.
Ini berbeza dengan karya yang bersifat malar segar. Ia tak pernah jemu dan tak pernah terlupakan. Lagu-lagu seperti Rindu Bayangan (Carefree), Apo Nak Dikato (Blues Gang) atau Hati Emas (Kembara) sentiasa ada sepanjang darsawarsa. Itu bagi saya adalah ‘magik’ yang lain. Magik lagu Jamilah ini pula berkaitan dengan gelombang baru.
Hakikatnya, kini kita tak lagi hidup dengan gelombang radio yang terhad pilihannya. Yang tak dipilih oleh radio akan tergolek dan dilupakan tetapi kita sekarang berada di zaman algoritma. Algoritma media sosial sifirnya lain. Ia tak peduli umur lagu; ia tak peduli pembuatannya berkualiti bagus atau berkualiti asal boleh. Ia hanya peduli dengan popular. Apabila ia mendapat perhatian ramai, apalagi! Dunia maya pun menyambutnya. Seorang kanak-kanak atau seorang mak cik yang buat sebuah video menyanyi entah lagu apa – boleh sahaja popular dan mendapat ‘jackpot’. Atau bahasa baiknya ialah, rezeki.
Itulah maksud saya di awal tulisan ini tadi. Saya ingin menukilkan bahawa inilah ajaibnya rezeki! Bila karya kembali popular, ia bukan sahaja berbentuk keuntungan wang atau royalti tetapi juga penghargaan ke atas sesebuah karya meskipun ia sudah ditelan masa. Ini menunjukkan kepada kita yang sebuah karya seni itu sebenarnya tiada tarikh luput apatah lagi jika ia berjaya sampai ke hati masyarakat.
Dalam hidup kita pun begitu. Tidak semestinya karya seni, tetapi apa juga usaha yang kita lakukan hari ini yang mungkin kita nampak kecil seolah tidak dipeduli sesiapa; siapa sangka mampu mencipta keajaiban pada suatu masa yang akan datang. Berdoalah! Ya, berdoa juga begitu. Ada doa yang kita rasa tak dimakbulkan sekarang. Tetapi kita dituntut untuk tidak mudah kecewa sebaliknya terus lakukannya dengan sabar dan penuh yakin. Kita wajib percaya apa sahaja yang dikurniakan kepada kita itu adalah yang terbaik daripada yang Maha Esa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui masa dan ketika paling sesuai untuk kita. Sama jugalah dengan jodoh pertemuan. Apabila ketetapannya jodohnya sampai tiada siapa mampu menghalang ia untuk bersinar. Janji kita berusaha dan tidak setakat duduk diam.
Seperti kata ayat 216, surah al-Baqarah, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Hidupnya kembali lagu Tiara atau hari ini lagu Jamilah bagi saya bukan sekadar naiknya sebuah lagu lama di zaman baharu tetapi rezeki, jodoh, ajal maut itu memang rahsia Allah dan misteri sifatnya. Kita buatlah, berusahalah seikhlas mungkin apa yang kita kerjakan dan kemudian serahkan kepada Yang Maha Pemurah. Mungkin apa yang kita tulis, lukis, tanam, atau cipta hari ini juga akan mendapat tuah yang sama. Siapa tahu?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.