Keahlian calon bebas PRK Rantau gugur automatik, kata Amanah

Keahlian calon bebas PRK Rantau gugur automatik, kata Amanah

Husam Musa berkata keahlian mana-mana ahli politik yang ambil tindakan sendiri tergugur dan tidak boleh dikaitkan dengan Amanah.

KOTA BHARU:
Keahlian Mohd Nor Yassin, 67, dalam Amanah gugur secara automatik susulan tindakannya bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Rantau.

Naib Presiden, Husam Musa berkata tindakan Nor bersifat peribadi dan tidak membabitkan keputusan parti itu.

“Mana-mana ahli parti politik yang ambil tindakan sendiri, keahliannya gugur. Tidak boleh dikaitkan dengan Amanah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Gegar 2019 di Bandar Baharu Tunjong hari ini.

Husam berkata demikian sebagai mengulas tindakan calon bebas itu yang bertanding dalam PRK DUN Rantau, yang didakwa menyertai Amanah pada 10 Mac lepas.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum itu turut menafikan Nor ahli PAS.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan 2 calon bebas, Malarvizhi Rajaram serta Nor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.