
Ketika ini, katanya, kertas putih itu sedang dibuat kementeriannya sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Seperti yang diumumkan menteri pertahanan, pada awalnya kami berharap dalam tempoh ini, jemaah menteri boleh berbincang beberapa kali mengenainya (kertas putih pertahanan), tentang apa yang kementerian ini akan bentangkan.
“Akhirnya, draf kertas putih pertahanan dapat diterima jemaah menteri dan dibentang di Parlimen pada September,” katanya kepada Bernama pada sesi soal jawab kertas putih pertahanan sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian LIMA ’19 percaya kertas putih pertahanan itu merupakan sumbangan penting kepada landskap pertahanan negara atas beberapa sebab dan mewakili prospek strategik mengenai pertahanan.
Kertas putih itu akan menjelaskan peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Zulkifli Zainal Abidin berkata, dengan adanya kertas itu, semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi berkaitan akan mempunyai garis panduan jelas tentang tugas serta peranan masing-masing.
LIMA ’19 yang bermula Selasa lalu dan berakhir esok, disertai 406 syarikat – 206 tempatan dan 200 asing – yang kebanyakannya berkaitan pertahanan.