Menteri kritik Khairy bangkitkan isu kereta terbang di Twitter

Menteri kritik Khairy bangkitkan isu kereta terbang di Twitter

Pembentangan slaid Dasar Automotif Nasional yang mengandungi kereta terbang hanyalah draf untuk tujuan perbincangan sahaja.

Ong Kian Ming berkata status Khairy Jamaluddin di Twitter yang hanya memfokuskan mengenai kereta terbang sebagai ‘nakal’. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming mengkritik Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mempertikaikan isu kereta terbang di media sosial.

Ong berkata isu kereta terbang dalam pembentangan slaid Dasar Automotif Nasional (NAP) seperti didedahkan Khairy merupakan perbincangan antara kementerian dengan pemegang taruh industri automotif.

“Sudah jelas dokumen itu hanyalah draf untuk tujuan perbincangan sahaja, di mana maklumat dan informasi yang terkandung boleh diubah-ubah dan bukan pendirian rasmi kerajaan Malaysia.

“Saya terkejut Khairy tidak nyatakan perkara ini dalam Twitter miliknya. Kita bagaimanapun sedia menerima pandangan dan idea dari mana-mana pihak termasuk darinya,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Selasa lalu, Khairy memuat naik 2 keping gambar di Twitter yang menunjukkan mesyuarat berkaitan NAP. Khairy turut membulatkan bahagian tertentu dalam gambar berkenaan, iaitu kereta terbang.

Ong berkata aspek kereta terbang itu dinyatakan di mana ia digunakan untuk tujuan perbincangan mengenai spesifikasi dan standard.

“Kita letakkan kereta terbang bukan kerana kita katakan untuk bina kereta terbang.

“Ia adalah untuk menjelaskan mengenai keperluan standard dan regulasi yang perlu dipinda untuk tujuan mengaplikasikan teknologi baru dalam industri outomotif di masa depan,” kata Ong.

Ong menjelaskan, status Khairy itu yang hanya memfokuskan kereta terbang sebagai “nakal”. Namun kementeriannya tetap mengalu-alukan kritikan membina dari pembangkang.

“Kita akan nilai Khairy dan pihak pembangkang yang lain, sekiranya mereka dapat memberikan idea tentang bagaimana untuk meningkatkan lagi sektor automotif dalam negara.

“Berbanding sekadar fokus kepada 2 perkataan yang sebenarnya tidak mencerminkan situasi sebenar perbincangan yang dilakukan antara kementerian dan pemegang taruh,” katanya.

Ong menambah, semakan semula polisi NAP akan dibentangkan pada suku ke-2 tahun ini dan menegaskan NAP bukanlah platform untuk membina kereta terbang, sebagai sebahagian kereta nasional ke-3.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.