Mahkamah tiada kuasa dengar semakan kehakiman bekas pengarah AIAC

Mahkamah tiada kuasa dengar semakan kehakiman bekas pengarah AIAC

Hakim, Nordin Hassan berkata, peguam negara mempunyai budi bicara tidak terhad di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan berhubung hal pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi berkata, N Sundra Rajoo sebenarnya meminta mahkamah menyemak semula keputusan peguam negara yang juga pendakwa raya. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kebenaran difailkan bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), N Sundra Rajoo untuk memulakan semakan kehakiman ke atas pendakwaan dihadapinya.

Hakim, Nordin Hassan berkata, permohonan Sundra tidak boleh dipertimbangkan untuk semakan kehakiman dan peguam negara mempunyai budi bicara tidak terhad di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam hal pendakwaan.

Katanya, Sundra sebenarnya meminta mahkamah menyemak semula keputusan peguam negara yang juga pendakwa raya.

“Selepas mempertimbangkan hujah dan dokumen kes, mahkamah ini tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara itu dan tidak boleh menghalang peguam negara melakukan pendakwaan.”

Beliau turut menolak permohonan K Shanmuga yang mewakili Sundra untuk menghentikan sebarang pendakwaan ke atas anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, peguam kanan persekutuan, S Narkunavathy berkata, Sundra sepatutnya ke mahkamah jenayah untuk berhujah yang dia boleh mendapatkan imuniti daripada sebarang pendakwaan.

“Ini bukan forum betul untuk membangkitkan isu ini. Pemohon datang ke mahkamah sivil untuk menghentikan satu kes jenayah.”

Sundra yang mengetuai AIAC dari 2010 hingga hujung tahun lalu, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 4 Mac lalu bagi memohon perisytiharan beliau layak dilindungi daripada tindakan yang diambil atas kapasiti rasminya.

Dia turut memohon perisytiharan yang imuniti itu tidak boleh dibatalkan di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992, serta tidak kira pemangku pengarah atau mana-mana pegawai dari AIAC boleh menghapuskan perlindungan yang dinikmatinya.

Sundra mendakwa dia mempunyai kekebalan kerana pusat itu ditubuhkan pada 1978, susulan perjanjian antara Malaysia dan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO).

Dia cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang peguam negara mendakwanya atas sebarang tindakan ketika menjadi pengarah AIAC dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan atau memulakan prosiding kehakiman terhadapnya, serta untuk Mahkamah Tinggi mengetepikan sebarang arahan diperolehi 4 responden untuk menarik balik imunitinya.

Responden itu adalah Kementerian Luar, peguam negara, SPRM dan kerajaan persekutuan.

Sundra yang merupakan hakim Jawatankuasa Etika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, ditahan November lalu selepas terbang dari Zurich, di mana ibu pejabat FIFA ditubuhkan.

Dia dibebaskan selepas seorang majistret menolak permohonan reman SPRM atas alasan dia mempunyai kekebalan diplomatik sebagai ketua AIAC.

SPRM melancarkan siasatan susulan laporan mendakwa Sundra menyalahgunakan kedudukanya untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.