3 menteri letak jawatan, Parlimen UK undi alternatif Brexit esok

3 menteri letak jawatan, Parlimen UK undi alternatif Brexit esok

Mereka yang meletak jawatan ialah Menteri Perniagaan, Richard Harrington, Menteri Luar, Alistair Burt dan Menteri Kesihatan, Steve Brine.

Richard Harrington (dari kiri), Alistair Burt dan Steve Brine mengundi menyokong pindaan Brexit yang akan menyaksikan Dewan Rakyat mengundi beberapa alternatif kepada pilihan berkaitan Brexit pada Rabu.
LONDON:
Ahli Parlimen Britain pada Isnin mengundi untuk menyokong pindaan Brexit yang akan menyaksikan Dewan Rakyat mengundi beberapa alternatif kepada pilihan berkaitan Brexit pada Rabu.

Seramai 329 ahli Parlimen mengundi untuk menyokong pindaan Letwin itu berbanding 302 menentang, yang diketuai bekas menteri, Oliver Letwin dan Dominic Grieve, yang secara efektif membenarkan Parlimen mengawal proses Brexit serta memberi satu lagi tamparan kepada Perdana Menteri, Theresa May.

Akhbar The Guardian melaporkan 30 ahli Parlimen daripada parti May, termasuk 3 menteri mengundi menyokong pindaan itu.

Ketiga-tiga menteri juga dilaporkan meletak jawatan.

Mereka ialah Menteri Perniagaan, Richard Harrington, Menteri Luar, Alistair Burt dan Menteri Kesihatan, Steve Brine.

Dalam surat peletakan jawatannya yang disiarkan The Guardian, Harrington menjelaskan ia “keputusan sukar”, namun beliau perlu menimbang kesan ekonomi Brexit dan menggesa perdana menteri bertindak atas “kepentingan nasional dan membolehkan Parlimen minggu ini mencari konsensus yang boleh digunakan sebagai pendirian rundingan kita untuk bergerak ke depan”.

Parlimen UK akan mengundi beberapa siri alternatif berkaitan Brexit pada Rabu, termasuk kemungkinan pungutan suara ke-2 Brexit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.