Syarikat pesawat Perancis rancang perkukuh operasi di Malaysia

Syarikat pesawat Perancis rancang perkukuh operasi di Malaysia

Pengambilalihan Execujet Malaysia merupakan MRO pertama dimiliki Dassault Aviation di Asia.

Pengunjung melihat replika pesawat keluaran Dassault Aviation yang dipamerkan di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengeluar pesawat Perancis, Dassault Aviation, merancang untuk memperkukuh operasinya di Malaysia terutama dalam segmen perniagaan jet berikutan peningkatan permintaan daripada komuniti perniagaan.

Ia juga berikutan pengambilalihan sebuah penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan baru-baru ini.

Presiden Dassault Aviation di Asia Pasifik, Jean-Michel Jacob berkata Malaysia menawarkan peluang yang luas untuk mengembangkan segmen perniagaan jet kerana bilangan tinggi syarikat di Malaysia mengeksport ke luar negara serta beroperasi di pasaran global.

“Keperluan bagi perkhidmatan udara secara langsung oleh komuniti perniagaan akan menjadi pemacu untuk kami dalam segmen tersebut.

“Selain itu, pengambilalihan Execujet Malaysia Sdn Bhd melengkapi matlamat kami untuk berkembang di Malaysia dan rantau ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Jacob berkata jumlah perniagaan jet di Malaysia kira-kira 60 pesawat.

“Sepuluh pesawat daripada Dassaults dan selebihnya daripada pengeluar lain. Kami juga jangka untuk menyerahkan sebanyak 120 pesawat di Asia Pasifik dan 12 daripadanya akan diserahkan pada tahun ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai perniagaan MRO, beliau berkata kilang Execujet di Subang akan menyokong pertumbuhan perniagaannya.

Dalam pada itu, industri aeroangkasa turut dikenal pasti oleh kerajaan sebagai bidang yang berpotensi tinggi meningkatkan keyakinan Dassault Aviation.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai langkah-langkah yang mungkin akan diambil Malaysia dengan beralih kepada pesawat tempur dari China dan bukan dari syarikat Eropah berikutan pengharaman minyak sawit oleh Kesatuan Eropah, Jacob berkata: “Ia melibatkan isu antara kerajaan dan kerajaan, saya tidak akan memberi komen berkaitan politik.”

Malaysia dilaporkan sedang mempertimbangkan pembelian 18 buah pesawat Rafale dari Perancis bernilai kira-kira RM8.25 bilion dalam rancangannya untuk menggantikan pesawat tempur buatan Rusia, MIG-29 kerana beberapa buah pesawat itu tidak berfungsi dengan baik.

Sementara itu, Pengurus Besar Execujet (Execujet) Malaysia, Ivan Lim berkata syarikatnya akan mempercepatkan pelan pengembangan untuk menampung penempatan jet Falcon terdiri daripada Falcon 6X, Falcon 7X, Falcon 8X, Falcon 900LX, Falcon 2000LXS dan Falcon 2000s.

“Kami akan menambah keupayaan penyelenggaraan menjelang akhir tahun untuk jenis Dassault yang terpilih iaitu 8X, 7X dan 2000 manakala model-model lain akan ditambah secara berperingkat,” katanya.

Beliau menambah syarikatnya kini mengendalikan antara 30 hingga 35 pesawat secara bulanan.

Lim berkata syarikatnya pada masa ini menyelenggara 2 jenis pesawat iaitu Bombardier dan Gulfstream.

Execujet adalah perniagaan penerbangan MRO terbesar di Malaysia, dan beroperasi di kawasan seluas 64,000 kaki persegi di lapangan terbang Subang.

“Kami bercadang untuk memperluas kemudahan kami kepada 150,000 kaki persegi termasuk menyediakan sebuah hangar, pejabat dan bengkel dan menyasarkan perkhidmatan MRO secara bulanan antara 40 hingga 50 pesawat tahun depan selepas projek peluasan itu selesai nanti,” katanya.

Pengambilalihan perniagaan MRO ExecuJet sebahagian daripada komitmen Dassault Aviation untuk mengukuhkan dan mengembangkan rangkaian sokongan pelanggan sedia ada dan pengambilalihan itu merupakan MRO pertama dimiliki Dassault di Asia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.