
Perdana menteri berkata, ini bagi memastikan pasukan benteng keselamatan negara itu mempunyai kelengkapan yang sesuai dan terkini.
“Kerajaan prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya, terutama pada masa kini di mana beban tugas yang semakin mencabar,” katanya dalam amanat pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar, Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
Dr Mahathir berkata, berdasarkan perkembangan dan cabaran semasa, polis bukan sahaja berhadapan cabaran dalam konteks jenayah konvensional, tetapi juga ancaman pengganas yang adakalanya amat luar biasa dan menuntut agensi keselamatan, terutama polis menanganinya secara tegas, strategik dan berkesan.
Dalam konteks ini, beliau berkata, kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan keupayaan yang diperlihatkan anggota keselamatan seperti polis dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
Ini termasuklah menangani ancaman militan Daesh di negara ini, apabila sehingga kini menurutnya, seramai 464 anggota kumpulan pengganas terbabit berjaya ditangkap.
“Kerajaan percaya ini dapat dicapai kerana polis dan anggota keselamatan lain memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu yang kompleks membabitkan kumpulan militan ini,” katanya.
Perdana menteri turut mengucapkan syabas kepada polis kerana mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara apabila sepanjang tahun lepas hanya 88,662 kes direkodkan, berbanding nilai ambang sasaran sebanyak 100,611 kes.
“Ia adalah penurunan sebanyak 11.9%. Statistik ini membuktikan komitmen polis untuk memenuhi harapan masyarakat yang sekarang ini amat peka terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-212, Dr Mahathir berharap semua anggota polis akan terus bersemangat memberi khidmat mereka demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara.