
“Banyak bidang…tetapi (sebelum ini) kita tak tau dia punya kebolehan dan dia tak tau kita punya kebolehan. Bila kita datang sini baru nampak kebolehan mereka.
“Kalau mereka boleh buat kenderaan tentera, saya fikir yang lain-lain bukan susah sangat bagi mereka. Bila mereka boleh terima cadangan untuk buat kereta kita dengan kita, saya rasa ia baik.
“Penduduk mereka 210 juta, kita 32 juta. Kalau kita (dengan penduduk 32 juta) boleh buat kereta, banyak lagi yang boleh mereka lakukan.
“Dalam bidang kejuruteraan, penyelidikan, perdagangan, pertanian, banyak lagi yang boleh kita bekerjasama dengan mereka.
“Kita boleh membeli daripada mereka dan menjual kepada mereka,” katanya kepada media Malaysia di Pangkalan Tentera Udara Pakistan Nur Khan, Rawalpindi, dekat sini.
Mahathir yang dalam lawatan kerja 3 hari ke Pakistan sejak Khamis berkata, wujud persefahaman lebih mendalam antara Pakistan dan Malaysia dan sekiranya kedua-dua negara benar-benar berusaha, hubungan 2 hala dan perdagangan akan bertambah baik.
“Seperti yang dilihat, mereka dapat membina pesawat (JF-17 Thunder). Pesawat ini yang dipamerkan sebentar tadi (semasa perarakan Hari Pakistan) amat baik sekali.
“Saya tahu Pakistan ingin menjual pesawat mereka kepada kita. Semua orang mahu menjual pesawat kepada kita. Tunjuklah satu, dua pesawat supaya kita boleh lihat.
“(Selain) beberapa kapal, mereka turut membina kenderaan darat. Saya tidak tahu sekuat mana tentera Pakistan dan peluru berpandu nuklear. Orang akan berfikir 2 kali untuk menyerang Pakistan,” katanya.
Semasa ditanya mengenai perbincangannya dengan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan mengenai usaha memerangi rasuah, Mahathir berkata, kedua-dua negara berdepan masalah sama untuk membawa “orang yang sebelum ini terlibat dengan rasuah” ke mahkamah.
“Mereka (Pakistan) mahu mengambil tindakan terhadap orang yang dahulunya rasuah, tetapi mereka dapati sukar untuk membicarakan (mereka) di mahkamah. Mereka (Pakistan) hadapi masalah itu.
“Kita juga berdepan masalah kerana mahkamah mempunyai pandangannya sendiri mengenai betapa seriusnya perkara ini.
“Oleh itu, tidak banyak kemajuan. Kita telah membawa kes ke mahkamah tetapi belum ada perbicaraan,” katanya.