Pelajar UM tuntut penyokong Najib mohon maaf kerana kasari mereka

Pelajar UM tuntut penyokong Najib mohon maaf kerana kasari mereka

Pengerusi Persatuan Belia Baru UM, Wong Yan Ke berkata, pelajar mempunyai hak mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap hipokrit Najib Razak dan 1MDB.

Wong Yan Ke membuat laporan polis hari ini mengenai kejadian semalam dan mengenal pasti 2 ahli Umno terkenal sebagai individu didakwa mengasari kumpulan pelajar UM itu.
KUALA LUMPUR:
Pemimpin pelajar Universiti Malaya menuntut penyokong Najib Razak memohon maaf kepada pelajar yang mendakwa dikasari mereka, semalam.

Pengerusi Persatuan Belia Baru UM (Umany), Wong Yan Ke berkata, mereka mempunyai hak mengadakan perhimpunan aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sikap hipokrit bekas perdana menteri itu dan 1MDB.

Katanya, beliau pernah menyertai beberapa bantahan sebelum dan selepas pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lalu.

Ia termasuk protes pelantikan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kenaikan RM50 gaji minimum kepada RM1,000 (kini ditetapkan pada RM1,100) dan keputusan tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“(Perhimpunan) ini dijalankan secara aman dan tanpa sebarang bentuk penghinaan.

“Apa yang berlaku semalam berbeza dengan pengalaman lampau saya.”

Wong turut membuat laporan di Balai Polis Pantai hari ini berhubung kejadian semalam dan mengenal pasti 2 ahli Umno dikenali ramai sebagai individu didakwa terbabit dalam insiden itu.

Beliau mendakwa 2 ahli Umno itu bersama individu lain menyerang dirinya dan 6 pelajar lain, selain mengoyak plakad tertera “Mana RM2.6 billion?” dan poster karikatur badut menyerupai Najib yang dipegang pelajar lain.

“Mereka mendekati kami dan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap kami. Ada di kalangan mereka yang cuba menarik rambut saya dan mencekik saya,” kata Wong.

Katanya, sebagai pelajar, mereka tidak gentar dengan sebarang ancaman kerajaan atau pembangkang dalam menyuarakan pandangan mereka.

“Kami mempraktikkan kedaulatan undang-undang dan tiada orang berhak melakukan keganasan atau mencetuskan ketidakharmonian kaum untuk mempertahankan ‘Boss’ mereka,” katanya merujuk Najib yang popular dengan tagline “Bossku”.

Najib sedang menghadiri program sembang santai bersama pelajar UM di Restoran Amjal berdekatan Universiti Malaya pada petang Jumaat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam dirakam mengoyak plakad dan mempertahankan tindakan itu dengan menyifatkan plakad itu “menghina Najib”.

Najib kemudiannya berkata, beliau kesal dengan kejadian itu dan beliau sudah didakwa di mahkamah tahun lalu atas isu sumbangan RM2.6 bilion serta mengembalikan wang yang diterimanya dalam akaun peribadinya kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah 4 bulan selepas menerimanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.