
Jurucakap Low yang tidak dinamakan itu berkata, rumah keluarga itu dibina 2 dekad lepas, lama sebelum berlakunya kontroversi 1MDB.
Low didakwa merupakan watak utama dalam skandal berkenaan yang melibatkan wang berjumlah berbilion ringgit didakwa disonglap dan digubah melalui pelbagai akaun bank.
Satu kenyataan yang dikeluarkan melalui agensi perhubungan awam di Sydney, Australia berkata, Low “masih remaja” ketika rumah berkenaan dibina dan disiapkan 20 tahun lepas, iaitu semasa pemerintahan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
Ini lebih 1 dekad sebelum 1MDB wujud, kata kenyataan itu.
Polis hari ini mengesahkan banglo di Tanjung Bungah Park di Pulau Pinang itu disita berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Mazlan Mansor mengesahkan pegawai anti-pengubahan wang haram menyita hartanah tersebut.
Jurucakap Low mempersoalkan kenapa notis sitaan itu ditinggalkan di luar rumah berkenaan, yang didaftarkan di bawah nama ibu beliau, Goh Gaik Ewe, 66.
“Jelas bahawa rejim Mahathir bertujuan meraih ‘mata politik’ dengan menyasarkan Low melalui apa-apa juga cara yang mungkin, tanpa mempedulikan undang-undang atau hak asasi manusia,” kata jurucakap itu.
Kata beliau lagi, hartanah tersebut tidak pernah menarik minat kerajaan Malaysia dalam tempoh 20 tahun sebelum ini.

“Langkah menyita hartanah yang tidak ada kaitan dengan mana-mana dakwaan adalah petunjuk jelas betapa Mahathir mempolitikkan isu tersebut dan merupakan satu lagi contoh pelanggaran kedaulatan undang-undang, sekali gus membuktikan Low tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.”
Kerajaan Malaysia berusaha menangkap Low, yang keberadaannya tidak diketahui, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang berjumlah berbilion ringgit dalam urus niaga 1MDB.
Ibu Low dan bapanya, Larry Low Hock Peng, juga 66, dinamakan oleh Bukit Aman sebagai individu disyaki berhubung siasatan ke atas 1MDB.