Bersih sokong langkah perketat peraturan tukar alamat MyKad

Bersih sokong langkah perketat peraturan tukar alamat MyKad

Langkah JPN itu boleh mengatasi kejadian ramai pengundi dipindahkan menjelang pilihan raya umum.

Bermula 2 Mei depan, rakyat Malaysia yang mahu menukar alamat MyKad perlu mengemukakan bil utiliti, resit cukai pintu atau perjanjian sewaan sebagai bukti tempat kediaman.
PETALING JAYA:
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini langkah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta bukti tempat kediaman daripada warga Malaysia yang memohon pertukaran alamat dalam kad pengenalan mereka (MyKad).

Badan reformasi pilihan raya itu berkata, langkah JPN itu boleh mengatasi salah satu daripada kebimbangan Bersih berhubung kejadian ramai pengundi dipindahkan menjelang pilihan raya umum lepas.

“Mereka adalah individu yang menukar alamat MyKad dan selepas itu tempat mengundi ke sesebuah kerusi marginal yang mahu dimenangi oleh parti politik yang mereka sokong,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

JPN memaklumkan bermula 2 Mei depan, rakyat Malaysia yang mahu menukar alamat MyKad mereka perlu mengemukakan bil utiliti, resit cukai pintu atau perjanjian sewaan sebagai bukti tempat kediaman.

Bersih mendakwa, ia mendapati antara 5,000 ke 10,000 pengundi dipindahkan ke kerusi Wangsa Maju dari kerusi berjiran di Batu menjelang pilihan raya umum tahun lepas.

Ia berkata, perkara sama turut berlaku di seluruh negara.

“Pertukaran alamat dan pendaftaran pengundi baru yang sedemikian besar dalam tempoh yang singkat juga menimbulkan keraguan tentang kemungkinan berlakunya pakatan sulit melibatkan JPN, kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pekerja parti,” kata Jawatankuasa Pemandu pertubuhan itu.

Bersih berkata, dengan pelaksanaan peraturan baru itu, JPN telah meneroka jalan ke arah pendaftaran automatik pengundi, yang turut menimbulkan persoalan sama ada rakyat dibolehkan memilih tempat mengundi mereka.

Justeru ia mencadangkan diwujudkan satu pangkalan data alamat kebangsaan berdasarkan kedudukan geografi, yang akan menyaksikan setiap alamat di negara ini diberikan tanda pengenalan khas yang menunjukkan secara tepat lokasi dan klasifikasi hartanah terbabit.

“Ini bukan sahaja akan menghapuskan keraguan dalam daftar pemilih, tetapi juga mengesan pendaftaran terlampau ramai pengundi di alamat yang sama atau alamat bukan kediaman,” katanya.

Semalam, pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, pendaftaran automatik pengundi akan mengambil masa dan tidak semudah seperti didakwa.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan membenarkan mana-mana orang mengundi di tempat ia pertama kali mendaftar sebagai pengundi walaupun mereka kini tinggal di tempat lain.

“Itu adalah hak Perlembagaan kita. Jika kita buat pendaftaran automatik, maka ia perlu dipinda kerana anda kini perlu mengundi di tempat tinggal yang dinyatakan dalam MyKad anda.”

Ini kata beliau, akan menyebabkan lebih banyak kerusi akan bertumpu di Kuala Lumpur dan Selangor dan menjadi satu isu yang perlu ditangani.

Katanya, SPR akan berusaha mengemukakan penyelesaian yang adil dan saksama.

Dilaporkan sebelum ini, kebanyakan parti politik kerajaan dan juga pembangkang bersetuju menerima pendaftaran automatik pengundi berikutan pertemuan tertutup antara SPR dengan lebih 30 parti politik berkaitan isu pendaftaran pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.