
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohmad Salleh berkata, rampasan terbesar dalam sejarah polis itu susulan 3 serbuan antara 7.30 hingga 10 pagi.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Taman Desa Cemerlang yang menyaksikan 3 lelaki tempatan berusia 35 dan 48 tahun ditahan bersama 2.06 tan dadah disyaki syabu.
“Syabu itu yang disimpan dalam kontena dibungkus menggunakan bungkusan teh Guanyinwang bagi menggaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Mohamad berkata, 3 lagi lelaki tempatan berusia 25 hingga 49 tahun ditahan dalam serbuan ke-2 dan ke-3 di Taman Pelangi serta Taman Desa Cemerlang.
Dalam kedua-dua serbuan itu, tiada rampasan dibuat, tetapi daripada semua tangkapan, polis menyita 7 kenderaan, wang tunai, barang kemas dan jam tangan bernilai RM489,000.
Kenderaan itu adalah Lexus, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Cefiro, Nissan Navara, Ford Ranger dan Proton Inspira.
Katanya, kejayaan ini hasil risikan bersama polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selama 2 minggu.
“Kami percaya sindiket ini baru sahaja bergiat sejak 2 minggu kebelakangan ini dengan menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membawa masuk dadah itu dari negara ‘Golden Triangle’ (Thailand, Myanmar dan Kemboja) melalui jalan laut.
“Kemudian, ia (dadah) akan dibungkus di makmal mini di sini sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand.”
Katanya, dadah yang dirampas itu boleh menampung 10.3 juta penagih.
Mohmad berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, namun negatif dalam ujian air kencing. Mereka direman 7 hari sehingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.