Siasatan kemalangan di lapangan terbang dijangka siap dalam sebulan

Siasatan kemalangan di lapangan terbang dijangka siap dalam sebulan

Timbalan Menteri Kamarudin Jaffar berkata Biro Siasatan Kemalangan Udara masih menjalankan siasatan.

Pemandu kenderaan MAHB meninggal dunia selepas kemalangan di landasan lapangan terbang Subang. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara berhubung kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) yang menyebabkan seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) maut, dijangka siap dalam masa sebulan, kata Kamarudin Jaffar.

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata polis turut menjalankan siasatan.

“Penyiasatan berhubung kemalangan itu masih dijalankan kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan MAHB di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Pada Isnin lepas, kakitangan MAHB Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di landasan LTSAAS, Subang.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir Selasa lepas semasa dirawat di sebuah hospital swasta.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya akan memanggil semua pihak yang terbabit termasuk juruterbang pesawat itu bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.