Pesara tentera didakwa buat tuntutan palsu RM19,000

Pesara tentera didakwa buat tuntutan palsu RM19,000

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat pengesahan penerimaan bekalan perkhidmatan palsu, 5 tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengesahkan penerimaan bekalan perkhidmatan berjumlah RM19,000 bagi Markas Latihan Tentera Darat Port Dickson, sedangkan bekalan tersebut tidak dibuat. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seorang bekas pegawai tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat pengesahan penerimaan bekalan perkhidmatan palsu, 5 tahun lepas.

Tertuduh, Mahadzir Jaafar, 54, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai staf 1 sejarah di Muzium Tentera Darat Port Dickson bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat hendak memperdayakan mengesahkan penerimaan bekalan perkhidmatan berjumlah RM19,000 bagi Markas Latihan Tentera Darat Port Dickson yang mengandungi butiran palsu sedangkan bekalan tersebut tidak dibuat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Muzium Tentera Darat Port Dickson pada 4 Ogos 2014 hingga 2 Sept tahun yang sama.

Tertuduh yang bersara pada 2017 didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Azman Zakaria dan Leftenan Kolonel Hanif Zakaria.

Hakim Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM Seremban minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.