
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah ini akan menggalakkan pekerjaan, memastikan pendapatan bersih golongan terbabit lebih banyak, selain merangsang pertumbuhan ekonomi.
Jika cadangan itu dilaksanakan, individu terbabit tidak lagi akan menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sekali gus sebanyak RM100 yang mereka terima sebelum ini.
“Selain mewujudkan peluang perniagaan bagi memastikan sektor swasta mengambil pekerja daripada kelompok B40, saya juga mahu mencadangkan satu skim untuk menambah pendapatan mereka. Saya menamakannya skim pendapatan tambahan.
“Kerajaan akan mengkaji sama ada ia boleh menambah pendapatan itu bagi memastikan majikan sektor swasta mengambil pekerja tersebut bekerja,” katanya dalam sesi soal jawab.
Bagaimanapun kata Lim, pelaksanaan skim itu akan bergantung pada kemampuan kewangan kerajaan.
Lim menjawab pertanyaan tambahan Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang meminta agensi berkaitan membantu orang bujang memperoleh pendapatan yang mencukupi, dan tidak bergantung pada BSH.
Ketika menjawab soalan asal Ikmal, Lim berkata, kerajaan bersetuju membayar RM100 kepada setiap individu yang berdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH.
Lim berkata, bayaran akan dibuat pada akhir bulan dan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing.
“Bayaran ini akan memberi manfaat kepada lebih 3 juta individu dan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
“Perlu ditegaskan bahawa ini adalah bayaran permulaan, dan bayaran berikutnya akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya.
Lim berkata, 1.2 juta pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan menerima bantuan RM100 setiap seorang.