Buangan sisa secara haram adalah isu keselamatan negara, kata aktivis

Buangan sisa secara haram adalah isu keselamatan negara, kata aktivis

Jika tidak dihentikan Malaysia mungkin akan menjadi 'tapak pembuangan sisa dunia'.

K Sundharan, penyelaras wilayah utara C4 berkata, Jabatan Kastam perlu dipertanggungjawabkan sekiranya pelabuhan kita membenarkan sisa buangan haram masuk ke Malaysia.
GEORGE TOWN:
Seorang aktivis menggesa pihak berkuasa supaya bertindak berhubung laporan bahawa sisa pepejal dan elektronik dari China dan negara Barat dibuang di Malaysia walaupun sempadan negara ini dijamin “kebal” terhadap kemungkinan sedemikian.

K Sudhagaran, penyelaras wilayah utara bagi Pusat Memerangi Rasuah dn Kronisme (C4) berkata, laporan berkenaan menunjukkan sempadan Malaysia bolos, sekali gus mengingatkan masalah ini boleh membesar menjadi isu keselamatan negara.

Katanya, jika ia tidak dihentikan Malaysia mungkin akan menjadi “tapak pembuangan sisa dunia”.

Menurut laporan media semalam, timbunan sisa buangan, kebanyakannya dari China, dibuang di sebuah ladang kelapa sawit di Bukit Teh, Bukit Mertajam.

Hari ini, FMT mendedahkan beribu-ribu kontena yang sarat dengan sisa elektronik dari Eropah dan Amerika Syarikat diimport secara haram melalui pelabuhan Pasir Gudang dan Klang.

Sudhagaran memberitahu FMT bahawa kerajaan perlu mengaudit semua pelabuhan laut bagi memeriksa bagaimana sisa haram dari negara lain boleh masuk ke Malaysia.

“Bagaimanakah sisa dari China boleh masuk ke negara ini tanpa pihak berkuasa tahu tentangnya? Di manakah kelemahannya dan siapakah penjenayah yang terlibat?

“Jika ia merupakan kegagalan di pihak Jabatan Kastam, maka kita mungkin berdepan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau mendesak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat segera isu pembuangan sisa di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Johor.

Dalam kes Bukit Mertajam katanya, kerajaan Pulau Pinang perlu melihat isu itu dengan serius dan menggubal lebih banyak undang-undang tempatan bagi menghalang tanah di negeri itu dijadikan tapak pembuangan sisa.

“Perkara ini nampaknya telah berjalan selama 3 tahun,” kata beliau.

“Kenapa pihak berkuasa tempatan mengambil masa terlalu lama untuk menanganinya? Ini jelas menunjukkan ketidakcekapan.”

Presiden Sahabat Alam Malaysia, SM Mohamed Idris mencadangkan diwujudkan sistem menanda dan menjejak sisa perkilangan dan yang diimport bagi memantau di mana ia berakhir.

Beliau juga menggesa digubal lebih banyak undang-undang berkaitan pembuangan sisa secara haram, dengan berkata, banyak syarikat bolos pemeriksaan dengan membuat perisytiharan palsu mengenai barang yang mereka import.

“Pengimport boleh melepasi pemeriksaan dengan mendaftarkan sisa pepejal mereka di bawah kod berlainan. Anda terlepas daripada radar,” katanya.

“Satu-satunya cara bagi mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan kaedah pemeriksaan manual ke atas semua konsainmen besar yang memasuki negara ini.”

Beliau juga mempersoal bagaimana pemilik tanah tapak di Bukit Mertajam tidak menyedari keadaan yang berlaku di situ.

Majlis Daerah Seberang Perai mengeluarkan notis pengosongan tapak kepada 3 pemilik tanah di Kampung Berangan Sembilan, Bukit Teh, Bukit Mertajam semalam.

Satu kawasan lapang di sebuah ladang kelapa sawit di situ didapati merupakan sebuah tapak pembuangan sisa setelah ditemui beberapa tong mengandungi kimia yang tidak dikenali.

Sampel dari tapak berkenaan telah diambil untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.