
Saksi ke-21 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim menjelaskan tatacara operasi standard dan manual operasi ketenteraman awam menetapkan FRU tidak boleh bertindak tanpa arahan pegawai berkuasa.
“Pegawai pemerintah unit 1 FRU Cheras, Jefri Mohamad cuba menghubungi OCPD untuk memaklumkan situasi semasa namun gagal,” kata pegawai penjaga FRU Troop 1A, Shuhaimi Yaakob.
“Selepas itu Jefri menghubungi timbalan OCPD dan arahan diberikan agar bersiap sedia.”
Shuhaimi memberitahu timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah bahawa pasukannya berada di tempat kejadian dari 10.30 malam pada 26 November hingga 4 pagi pada 27 November.
Dalam keterangannya di inkues hari ini, yang memasuki hari ke-14, Shuhaimi berkata FRU dalam operasi membantu polis tempatan perlu merujuk kepada pegawai kanan yang diberi kuasa.
“Di mana-mana kami pergi untuk bantuan, kami akan melapor kepada pegawai medan dan juga ketua polis daerah,” katanya.
Beliau menambah pihaknya menghubungi pegawai medan, Mohd Nasir Drahman dan hanya diarah bersiap sedia.
Shuhaimi memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kumpulan yang diselianya malam itu terdiri daripada 2 pegawai dan 60 anggota, manakala kumpulan kedua terdiri daripada 3 pegawai dan 53 anggota.
Berdasarkan pengalamannya, satu kumpulan FRU yang ideal, dengan 3 pegawai dan 85 anggota, boleh mengawal lebih 1,000 orang.
Tetapi pada malam tersebut, berdasarkan penilaiannya, terdapat lebih kurang 5,000 orang di kawasan kuil kontroversi itu, manakala 50 hingga 60 orang lagi kelihatan menyerang jentera dan van bomba.
“Malam kejadian 2 kumpulan kami, kekuatan lebih kurang 5 pegawai dan 113 anggota, pada dasarnya kalau tidak melibatkan sebarang senjata berbahaya di pihak orang ramai, kami boleh mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, peguam keluarga Adib, Yahya Othman bertanya kepada Shuhaimi adakah FRU gagal bertindak pada malam itu sehingga nyawa Adib melayang.
Shuhaimi tidak bersetuju.
“Penugasan pada malam itu adalah penugasan secara mengejut. Malam kejadian, di mana kami tidak diberi sebarang taklimat berkenaan situasi semasa, dan juga keadaan kawasan di mana sebarang tindakan yang akan diambil FRU adalah berdasarkan tindakan kumpulan IPD.
“Kami juga hanya pergi ke tempat kejadian berdasarkan arahan dan tidak diberi kawasan spesifik di mana kami perlu bersiap sedia,” katanya.
Peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syazlin Mansor bertanya adakah FRU hanya berada dalam keadaan bersiap siaga apabila jentera FRU diserang.
“Walaupun kenderaan kami diserang, kami perlu lapor dan menerima arahan daripada pihak atasan sebelum bertindak.
“Jika kami diserang, kami akan bertindak hanya terhadap penyerang,” katanya.
Inkues kematian Adib susulan rusuhan kuil Seafield pada 27 November lalu hari ini turut memanggil saksi ke-22, Hardeep Singh untuk mengesahkan video yang dirakam semasa malam rusuhan melibatkan jentera bomba.