Artis K-Pop Minho sukakan cabaran bakal sertai unit polis marin, sedang tunggu keputusan

Artis K-Pop Minho sukakan cabaran bakal sertai unit polis marin, sedang tunggu keputusan

Kebiasaannya bidang yang ingin disertai adalah tentera atau polis bantuan, namun Minho berbeza mahu sertai pasukan elit polis marin

Jika orang lain sekadar mahu menjadi tentera atau polis bantuan, berbeza pula dengan pelakon dan penyanyi Minho yang menanam hasrat mahu berkhidmat dalam pasukan elit polis marin.

Minho yang bakal menganggotai kumpulan SHINee mahu membuktikan keberanian bagi menunaikan khidmat latihan ketenteraan seperti mana pemuda Korea lain sebelum mencecah usia 30 tahun.

Minho yang berasal dari daerah Michuhol, Incheon dijangka berangkat dan mula mendaftarkan diri di kem latihan tentera pada pertengahan April ini.

Bagaimanapun, dia sedang menanti keputusan permohonannya untuk menyertai unit polis marin selepas membuat permohonan pada Januari lalu.

Setidak-tidaknya dia boleh meletakkan harapan kerana berdasarkan penilaian awal, Minho lulus peperiksaan pusingan pertama.

Kini dia menantikan keputusan sesi lisan dan peperiksaan fizikal.

Pihak pengurusannya, SM Entertainment mengesahkan perkara tersebut.

“Benar, anggota SHINee iaitu Minho telah memohon untuk menyertai pasukan polis marin. Dia kini menanti keputusan penuh,” kata wakil agensi tersebut menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, rata-rata peminat memuji keberanian Minho atas keputusannya itu.

Seperti yang diketahui warganet Korea, pasukan polis marin adalah divisyen paling sukar dan mencabar dari segi khidmat dan latihan yang akan dijalani.

Bahkan untuk seseorang itu berjaya disenaraikan sebagai anggota pasukan berkenaan juga bukan mudah kerana sesi pemilihannya sangat teliti dan berdasarkan calon yang benar-benar layak sahaja.

Begitu pun, sepanjang tempoh 21 bulan ketiadaan Minho dalam industri hiburan nanti, peminat akan ‘ditinggalkan’ dengan filem terbaru lakonannya bertajuk Jangsa-ri 9.15.

Dia juga sudah siap merakamkan single solo pertamanya bertajuk I’m Home yang akan dilancarkan menerusi saluran muzik digital, SM Station pada 28 Mac ini.

Disebabkan Minho, Key dan Onew menjalani latihan ketenteraan tahun ini, bermakna SHINee dijangka kembali semula dengan empat anggota sekitar Disember 2020.

Anggota paling muda, Taemin dijangka memulakan latihan khidmat ketenteraan pada 2021.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.