Sungai Kim Kim disahkan bersih, tapi pemantauan diteruskan, kata menteri

Sungai Kim Kim disahkan bersih, tapi pemantauan diteruskan, kata menteri

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pemantauan akan diteruskan selama 15 hari.

Petugas 5E Resources Sdn Bhd mengambil sampel tanah bagi memeriksa paras udara, air dan tanah di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, hari ini. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Sungai Kim Kim yang tercemar berikutan pembuangan sisa kimia 13 hari lalu disahkan bersih dan selamat, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan akan diteruskan selama 15 hari.

“Secara keseluruhan sudah bersih, tapi kita buat pemantauan untuk memberi keyakinan kepada rakyat sungai ini bersih,” katanya di lokasi pertama tempat pembuangan sisa kimia di sini, hari ini.

Yeo berkata, pembersihan sudah siap dan kontraktor dalam proses mengalihkan semua sisa kimia ke tempat pelupusan.

Proses pembersihan sungai di kawasan terjejas sepanjang 1.5km sejak 13 Mac lalu, berakhir sepenuhnya 17 Mac lalu melibatkan pelbagai pihak, termasuk 3 kontraktor yang dilantik serta pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Yeo Bee Yin menunjukkan bacaan air di Sungai Kim Kim yang kembali normal, hari ini. (Gambar Bernama)

Beliau berkata, laporan Jawatankuasa Saintifik akan diumumkan esok, merangkumi analisis data pencemaran, selain kaedah dan penyelesaian dalam mengatasi pencemaran sungai itu.

Ditanya sama ada kerja pembersihan akan menjejaskan aliran semula jadi sungai itu, beliau berkata: “Apa sahaja yang berkaitan sains penyingkiran, kita akan memberikan laporan penuh esok.

“Esok kita akan memberikan butiran mengenai aliran ini serta perkara lain, bagaimana kita melihat perkara ini, bagaimana kita mengira, esok kita akan menjawab.”

Sementara itu, sebanyak 900 metrik tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 metrik tan air tercemar dikumpul kontraktor.

Proses pengangkutan semua sisa kimia secara berperingkat itu, dijangka selesai 21 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.