
Menurut mereka, kehadiran agensi termasuk pihak berkuasa penting dalam memberi jaminan keselamatan, khususnya kepada penduduk kampung.
Ini lebih-lebih lagi berikutan terdapat jangkaan daripada pakar yang tidak menolak kemungkinan gegaran lebih kuat akan berlaku di daerah tersebut yang lima kali mengalami gempa bumi dalam tempoh lapan hari sejak Ahad lepas.
Penduduk, Firdaus Zainal, 40, berkata setakat ini kebanyakan maklumat semasa dan peringatan berhubung langkah keselamatan bagi menghadapi gempa bumi banyak diketahui daripada media sosial.
“Pemantauan oleh pihak berkaitan sekurang-kurangnya boleh menerangkan kepada penduduk tentang situasi semasa dan nasihat keselamatan.
“Kita bimbang gegaran jadi lebih besar tiap kali berlaku kita jadi takut sebab tidak tahu bagaimana keadaan (kesan gegaran) termasuk jika ada pergerakan bawah tanah,” katanya yang tinggal di Jalan Buloh Kasap, Batu 2.
Bagi Yusof Othman, 58, dari Kampung Tanjung Sengkawang, latihan kecemasan perlu untuk memastikan penduduk bersedia sekiranya gegaran lebih kuat berlaku.
“Saya harap apabila gegaran sudah masuk kali kelima ini, langkah keselamatan perlu diajar kepada penduduk bagi memastikan kita juga tahu di mana tempat sebetulnya untuk berlindung,” kata peniaga itu.
Ahmad Zainal, 52, dari Kampung Batu Badak pula berkata penduduk ketika ini seakan tidak senang duduk dengan gegaran yang berlarutan.
“Kami tidak boleh leka dan panik, apa pun kami berserah kepada Allah dan berharap agar gegaran tidak lagi berlaku,” kata pekerja buruh itu.
Tinjauan Bernama mendapati operasi perniagaan di bandar Segamat dan aktiviti harian penduduk termasuk di kawasan kampung berjalan seperti biasa.
Sebanyak lima gegaran telah direkodkan dalam tempoh seminggu di Segamat iaitu pada 7.29 pagi tadi dengan 2.7 skala Richter; 4.24 pagi semalam (3.4); 7.56 malam, Khamis (2.5); 8.59 pagi, Rabu (3.2); dan 6.13 pagi, 24 Ogos dengan 4.1.