Najib ulangi jaminan Umno-PAS tak pinggir kaum lain

Najib ulangi jaminan Umno-PAS tak pinggir kaum lain

Bekas perdana menteri itu berkata, Umno-PAS tetap akan menjaga kepentingan kaum lain, walaupun kerjasama rasmi kedua-dua parti Melayu itu demi menyatukan ummah.

Najib Razak berkata, Umno-PAS tetap akan menjaga kepentingan kaum lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak mengulangi jaminan kerjasama Umno-PAS tidak akan meminggirkan kaum lain.

Bekas presiden Umno itu berkata, kedua-dua parti itu tetap akan menjaga kepentingan kaum lain, walaupun kerjasama rasmi kedua-dua parti Melayu itu demi menyatukan ummah.

“Jadi, tidak ada siapa yang perlu bimbang dengan penyatuan Umno dan PAS,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Khamis lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dilaporkan berkata, kerjasama Umno-PAS demi penyatuan ummah dan untuk mencari kebaikan, tetapi mereka tidak akan meminggirkan sesiapa pun, termasuk orang bukan Islam.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan mengaitkan keganasan dan isu perkauman timbul kerana kebimbangan segelintir pihak terhadap kerjasama Umno-PAS.

Katanya, dakwaan itu tidak akan berlaku sama sekali kerana Islam ialah agama kedamaian.

“Itu yang menyebabkan timbulnya kenyataan-kenyataan tidak perlu. Mungkin kalau mereka tidak takut, mereka tidak akan cakap seperti itu.”

“Sewaktu perjumpaan kita yang pertama, kita jelas persepakatan ummah ini tidak akan meminggirkan kaum dan agama lain di dalam negara.”

Katanya, PAS mempunyai rekod baik sepanjang pemerintahan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“PAS dah ada bukti memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kita tidak pernah dengar rungutan daripada bukan Melayu dan bukan Islam dipinggirkan atau tertekan di negeri-negeri ini.”

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, kerjasama Umno-PAS akan memecah belahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban, jika 2 parti itu berjaya membentuk kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.