Ketua hakim cuba padam sebahagian afidavit kes campur tangan kehakiman

Ketua hakim cuba padam sebahagian afidavit kes campur tangan kehakiman

Jabatan Peguam Negara yang mewakili ketua hakim negara cuba memadamkan sebahagian kandungan dalam afidavit Hamid Sultan Abu Backer mendakwa berlaku campur tangan kehakiman.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla (kiri) dan Joy Wilson Appukuttan yang mewakili Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, berada di luar Mahkamah Tinggi hari ini.
KUALA LUMPUR:
Jabatan Peguam Negara cuba memadamkan sebahagian kandungan dalam afidavit seorang hakim kanan dalam saman difailkan anak perempuan Karpal Singh.

Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer menerusi afidavitnya yang difailkan bagi menyokong kes Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara, mendakwa hakim tertinggi itu gagal mempertahan dan melindungi badan kehakiman.

Hamid mendakwa terdapat kes campur tangan kehakiman, termasuk dalam kes hasutan Karpal.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Hamid berkata, Jabatan Peguam Negara yang mewakili ketua hakim negara sudah memaklumkan Mahkamah Tinggi mereka cuba memadamkan sebahagian afidavit yang difailkan bagi menyokong saman Sangeet.

“Peguam, Joy Wilson Appukuttan dan saya berada di sini sebagai peguam pemerhati bagi pihak Hamid. Kami perlu terima arahan daripada beliau.”

Haniff berkata, mahkamah menetapkan 3 April untuk sebutan semula sementara menunggu sebarang permohonan diperlukan, termasuk sama ada Hamid boleh campur tangan dalam kes Sangeet.

Sementara itu, Sangeet berkata, beliau menerima cubaan Jabatan Peguam Negara membuang sebahagian kandungan dalam afidavit Hamid, atas alasan ia berdasarkan khabar angin dan kaitan terhadap kesnya.

Katanya, beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara berhubung perkembangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dijanjikan kerajaan dan bila ia akan bersidang.

“Kami belum dengar sebarang perkembangan berhubung RCI dan bidang tugasnya setakat ini.”

Sangeet memfailkan saman Januari lalu untuk memohon pengisytiharan mahkamah yang ketua hakim negara gagal menjalankan tugas untuk melindungi integriti badan kehakiman.

Katanya, Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat 2 perkara dalam dakwaan campur tangan kehakiman.

Selain kes hasutan Karpal, Hamid dalam sebuah forum turut mendakwa wujud campur tangan seorang hakim dalam kes penukaran agama 3 anak guru tadika, M Indira Gandhi.

Hamid berkata, beliau ditegur hakim atasan itu kerana membuat penghakiman berbeza yang memihak kepada Indira, 2 tahun lalu.

Sebelum ini, Malanjum dilaporkan berkata, siasatan dalaman ke atas dakwaan campur tangan kehakiman digantung sementara menunggu rayuan Karpal di Mahkamah Persekutuan dan hasil siasatan polis.

Katanya, siasatan itu tidak boleh dijalankan kerana 3 hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes Karpal masih berkhidmat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.