
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata Perlembagaan menetapkan hanya peguam negara boleh meneruskan atau memberhentikan apa-apa pertuduhan, maka Putrajaya tidak boleh campurtangan dalam proses terhadap Doan Thi Huong, yang didakwa atas pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.
“Walaupun kes itu masih lagi dalam prosiding mahkamah,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
“Itu adalah hak bagi penguatkuasa dan pihak peguam negara untuk membuat keputusan,” jelasnya.
Semalam, Hanoi meminta Malaysia membebaskan Doan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan tanpa membebaskan seorang lagi tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah 2 hari lalu apabila pejabat peguam negara menarik balik pendakwaan terhadapnya.
Doan, Siti Aisyah dan 4 lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Jong Nam di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi 13 Februari 2017.
Peguam Doan dan Siti bertegas anak guam mereka dipergunakan dalam pembunuhan yang dirancang ejen-ejen Korea Utara.