
Deenesh Ravindran, 22, berkata kisah silam zaman persekolahannya sangat buruk sehinggakan dia pernah bermalam di dalam lokap kerana terlibat dengan pergaduhan bersifat perkauman di Sungai Buloh.
“Sewaktu di alam persekolahan semasa di Tingkatan 4, saya sudah mula berkawan dengan rakan-rakan yang nakal, saya sudah mula ponteng sekolah, terlibat dengan dadah. Kemudian, ada pergaduhan besar-besaran di luar sekolah.
“Selepas dari itu, ada laporan polis dibuat terhadap saya dan rakan-rakan, seminggu kemudian ada polis datang ke sekolah tangkap saya dan 5 lagi rakan yang lain. Kami ditahan selama sehari setengah di lokap Jinjang,” ceritanya kepada FMT.

Menurut Deenesh, selepas ditahan dan diikat jamin oleh salah seorang pengasas restoran daun pisang Masala Wheels, lama-kelamaan dia mulai sedar tindakannya itu salah dan mahu berubah ke arah yang lebih baik.
Masala Wheels terkenal dengan konsep melaksanakan perniagaan sambil membantu remaja berisiko terutamanya yang pernah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, jenayah dan kongsi gelap.
“Saya mula bekerja sebagai jurujual makanan di Masala Wheels, dari situlah saya belajar berdikari dan berdisiplin. Hal ini kerana, untuk tarik pelanggan beli makanan yang kita jual, makanan kena bersih, elok dan saya juga perlu sentiasa memberi senyuman.
“Pihak Masala Wheels juga sentiasa beritahu, mereka hanya boleh nasihat tetapi untuk berubah, ia perlu datang dari diri sendiri. Mereka juga sentiasa ingatkan, saya datang dari keluarga susah, ayah bekerja sebagai pemandu lori dan adik saya mempunyai penyakit genetik sindrom down,” katanya.
Enam tahun berlalu, kini Deenesh bekerja sebagai ketua pasukan untuk sebuah syarikat telekomunikasi, namun dia tetap menghulurkan bantuan di Masala Wheels pada Sabtu dan Ahad.
Deenesh berbangga walaupun tidak mempunyai tahap pendidikan tinggi, namun atas berkat usaha gigihnya, dia mampu memiliki kenderaan sendiri dan kini dalam proses mendapatkan rumah pertamanya bagi membantu keluarga.
“Saya ketika ini menjadi lebih baik daripada dahulu dan atas nasihat Masala Wheels. Wang simpanan sebanyak RM500 sebulan selama 2 tahun saya gunakan untuk membayar wang pendahuluan rumah sebanyak RM20,000.
“Saya juga membiayai pendidikan adik saya yang sindrom down dengan menghantarnya di kelas pendidikan khas di Petaling Jaya. Mereka (Masala Wheels) yang berikan idea dan rancang semuanya kepada saya,” katanya.
Kisah hidup jadi inspirasi

Ketua Pegawai Eksekutif Masala Wheels, S Ravindran sewaktu ditemui berkata, kisah perubahan hidup Deenesh menjadi inspirasi kepada remaja bermasalah lain yang ada di Masala Wheels.
Bahkan, ada segelintir remaja yang bersama dengan Masala Wheels mahu menjadi lebih baik dan berjaya daripada Deenesh, walaupun mempunyai kisah silam yang perit.
“Saya gembira dan bangga, saya juga cakap kepada semua orang memandangkan saya sudah lalui pengalaman buruk, saya berjaya tukar seseorang menjadi lebih baik dan jika perubahan ini dapat diteruskan, maka semakin ramai orang baik di dunia ini.
“Sekarang ini tidak perlu lagi tanya Deenesh di mana, jika tidak ada di rumah, pastinya berada di tempat kerja. Dia begitu berdisiplin, namun saya tidak ubah dirinya dengan ‘brainwash’ tetapi hanya berikan perhatian dan kasih sayang kepadanya,” katanya.
Menurut Ravindran, Deenesh menghormatinya sebagai seorang abang bahkan bermurah hati untuk membenarkan remaja berkenaan menetap bersamanya sejak 6 tahun lalu.
“Dia memang agak takut dengan saya, sekarang ini sudah 6 tahun dia tinggal bersama saya dan masih tidak mahu balik ke rumah ibu dan bapanya, saya memang ada minta ibunya ambil tetapi ibunya turut berpandangan lebih baik Deenesh tinggal bersama saya.
“Saya hantar dan ambilnya dari sekolah, saya tunggu dia di depan pintu pagar barulah pergi berniaga. Secara tidak langsung saya perhatikan sama ada Deenesh merokok atau minum arak, tetapi kini saya sudah percaya sepenuhnya kepada dia,” katanya.
Ravindran turut menerapkan kemahiran kepada remaja berkenaan, seperti mengajarnya membuat minuman, memasak dan menebar roti canai.
“Dia beritahu saya dia tidak minat belajar, tidak mengapalah, jadi saya ajar dia ilmu kemahiran. Saya biarkan dia buat apa yang dia suka, jika saya halang maka dia akan beralih kepada perkara lain. Kini, dia boleh menebar roti canai, boleh buat masakan panas dan air. Semuanya saya latih,” katanya.