Dakwaan bunuh digugur, wanita Indonesia dalam kes Jong Nam dilepaskan

Dakwaan bunuh digugur, wanita Indonesia dalam kes Jong Nam dilepaskan

Hakim hanya membenarkan Siti Aisyah dilepas tanpa dibebaskan dan dia boleh dipanggil semula jika ada bukti baru.

Siti Aisyah tunduk ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang wanita Indonesia yang didakwa dalam kes membunuh abang pemimpin Korea Utara pada 2017, dilepaskan hari ini selepas mahkamah menggugurkan pertuduhan bunuh ke atasnya.

Siti Aisyah, 26, menangis dan memeluk seorang lagi tertuduh, Doan Thi Huong, 30, dari Vietnam selepas hakim mengumumkan keputusan itu.

Dua wanita itu didakwa meracuni Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan cecair VX, senjata kimia yang diharamkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari 2017.

Sejak awal lagi, ada yang mengesyaki Jong Nam ialah mangsa dalam plot diatur ejen Korea Utara yang meninggalkan Malaysia beberap ajam selepas kematiannya, dan 2 wanita itu sekadar kambing hitam dalam pembunuhan politik itu.

Siti Aisyah sebelum ini bekerja sebagai tukang urut di Kuala Lumpur, manakala Doan menyifatkan dirinya ialah penghibur.

“Kami masih percaya beliau sekadar kambing hitam,” kata peguam, Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah kepada wartawan.

“Saya masih percaya Korea Utara ada kaitan dengannya.”

Perbicaraan Siti Aisyah digantung Disember lalu kerana peguamnya berhujah dengan pihak pendakwaan berhubung salinan rakaman percakapan 7 saksi.

Hari ini, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah, mereka diarahkan menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, tetapi tiada alasan diberikan untuk tindakan itu.

Sebaik saja dibebaskan, Siti Aisyah terus meninggalkan mahkamah dan diiring ke sebuah kereta Kedutaan Indonesia yang menunggu di luar mahkamah.

Siti Aisyah hanya dilepas tanpa dibebaskan daripada kes itu selepas Hakim, Azmi Ariffin menolak permohonan peguamnya dengan berkata, mahkamah berpuas hati dengan kes prima facie terhadapnya dan dia boleh dipanggil semula jika ada bukti baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.