Proton jangka jualan model Persona, Iriz naik 30%

Proton jangka jualan model Persona, Iriz naik 30%

Jualan Iriz dan Persona sekarang adalah sebanyak 1,000 ke 2,000 unit sebulan.

(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pembuat kereta negara, Proton, menjangka jualan model Iriz dan Persona meningkat sekurang-kurangnya 30% dengan pelancaran model berwajah baru bulan ini.

Ketika ini, jualan Iriz dan Persona adalah antara 1,000 dan 2,000 unit sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Dr Li Chunrong berkata, Iriz dan Persona baru, bersama-sama dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70, akan kekal sebagai penyumbang utama kepada sasaran syarikat untuk mencatat pulangan modal tahun ini dan menukarnya kepada keuntungan pada 2020.

“Kami mempunyai produk baik dan sedang bekerja keras untuk mencapai sasaran ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Pranonton Persona 2019 kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat juga terus menerima sokongan daripada rakan kongsinya dari China, Zhejiang Geely Holdings Group.

“17 bulan selepas menjalin usaha sama dengan Geely, kini kami melancarkan Iriz dan Persona baru dengan ciri dalaman dan luaran terkini serta teknologi hubungan paling canggih dalam segmen ini,” katanya.

Bagi Persona baru, Li berkata, model itu menerima 303 penambahbaikan daripada model terdahulu, termasuk pengubahsuaian enjin untuk pemanduan lebih lancar dan penggunaan bahan bakar lebih cekap.

Beliau berkata, kereta itu dilengkapi unit utama pintar yang menggunakan kad eSIM dan menawarkan aplikasi bagi penstriman muzik, penggemudian menerusi pengecaman suara, sama seperti X70, SUV pertama Proton dan Iriz baru.

Kereta itu juga mendapat penarafan 5 bintang bagi aspek keselamatan di bawah Program Penilaian Kereta Baru bagi Negara-Negara Asia Tenggara (Asean NCAP).

Li berkata, 4 varian akan ditawarkan, iaitu standard 1.6 litre transmisi manual, standard 1.6 litre transmisi boleh laras berterusan (CVT), executive 1.6 litre CVT dan Premium 1.6 litre CVT

Bersempena dengan pelancaran akan datang bagi kereta itu, Proton akan mengadakan “promosi flash” bagi Persona 2019, mulai esok sehingga 22 Mac, dan pembeli yang berminat boleh membuat tempahan secara dalam talian pada hanya RM9.99.

Model pertama Persona diperkenalkan pada 2007 dan sejak itu, sebanyak 322,623 unit terlah dijual di Malaysia, Asean, Timur Tengah dan Australia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.