
Perkara itu dimaklumkan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan Thi Huong, tertuduh kedua dalam kes itu, semasa prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azmi Ariffin hari ini.
“Kita perlukan tarikh baru kerana kami akan mengemukakan representasi hari ini. Kami mahu AGC mengkaji semula kes kami untuk menarik balik tuduhan terhadapnya (Doan),” katanya.
Permohonan pasukan pembelaan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Hakim Azmi menetapkan Khamis ini bagi mengetahui status representasi tersebut dan sekiranya ditolak, mahkamah akan meneruskan perbicaraan kes itu pada hari sama.
Doan, 29, dan Siti Aisyah, 25, dari Indonesia, didakwa bersama 4 lagi yang masih bebas, membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) kira-kira 9 pagi pada 13 Feb 2017.
Ketika ditemui media, Hisyam berkata, pihaknya amat terkejut apabila pendakwa menarik balik kes terhadap Siti Aisyah, tetapi pertuduhan terhadap Doan dikekalkan.
“Kami kecewa… Doan lagi amat kecewa. Pendakwa raya tidak berlaku adil.
“Terdapat kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Pertuduhan terhadap Siti Aisyah ditarik balik sedangkan tuduhan terhadap Doan tidak.
“Kami tidak tahu atas dasar apa pertuduhan ditarik balik walaupun AG mempunyai kuasa untuk tidak meneruskan pendakwaan pada bila-bila sama,” katanya.
Pada 16 Ogos 2018, mahkamah memerintahkan Siti Aisyah dan Doan, 29, membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagimanapun, Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik pertuduhan ke atasnya.
Doan sepatutnya membela diri atas pertuduhan itu hari ini.