
TUNIS: Menteri kesihatan Tunisia, Abdel-Raouf El-Sherif meletakkan jawatan Sabtu selepas 11 bayi meninggalkan dunia dalam tempoh 24 jam di sebuah hospital di ibu negara, kata agensi berita kerajaan, TAP.
Kementerian Kesihatan dan pendakwa raya kerajaan melancarkan siasatan ke atas sebab kematian bayi berkenaan yang dipercayai berpunca daripada jangkitan darah, katanya.
Rakyat Tunisia mengeluh tentang kemerosotan mutu perkhidmatan kerajaan sejak kejatuhan Zine El-Abidine Ben Ali pada 2011 yang mencetuskan peralihan demokrasi, tetapi pada masa sama menyebabkan negara itu dilanda krisis ekonomi.
Pengkritik kerajaan berkata, sektor awam Tunisia berhadapan masalah rasuah yang meluas.