
Jawatankuasa Hari Wanita Antarabangsa 2019 berkata, Putrajaya perlu bersikap inklusif dalam dasarnya terhadap wanita, tanpa mengira etnik, umur, gender atau seksualiti mereka.
“Kegagalan mengiktiraf wanita LGBT merupakan satu tindakan untuk meminggirkan dan memadamkan keseluruhan segmen kelompok wanita.
“Tanpa pendekatan rentas kelompok dan inklusif, semua usaha kita ke arah membina sebuah negara yang aman, harmoni dan maju akan terhalang,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia seterusnya menggesa pihak yang mengkritik perarakan tersebut supaya bersikap “waras, berlapang dada, terbuka dan menghormati”.
Malam tadi, kerajaan berkata, ia tegas menolak kumpulan LGBT, berikutan gesaan perhimpunan berkenaan supaya hak mereka diiktiraf.
“Saya terkejut dengan tindakan beberapa orang yang menyalahgunakan ruang demokrasi untuk mempertahankan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof.
Beberapa kumpulan, termasuk Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO), Sisters in Islam dan aktivis gay, biseksual, transgender menyertai perhimpunan itu.
Antara lain mereka menuntut dihentikan keganasan berasaskan gender.
Hari ini, jawatankuasa itu menegaskan bahawa demokrasi yang sihat bergantung pada penyertaan penuh semua lapisan masyarakat.
“Kami mengingatkan kerajaan bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya mempertahankan prinsip asasi ini, khususnya yang melibatkan kumpulan yang terpinggir dalam masyarakat.
Jawatankuasa itu membidas “kekecohan moral yang diapi-apikan oleh media dan dimarakkan oleh oportunisme politik individu tertentu”.
Ia mengingatkan orang ramai bahawa perhimpunan itu turut mengetengahkan beberapa isu, termasuk gesaan pengharaman perkahwinan bawah umur dan gaji minimum RM1,800. Wakil Orang Asli juga menuntut akses yang adil dan kawalan ke atas tanah dan sumber milik mereka.